KLEBANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang terus menyalahkannya berhubung tindakan pendakwaan terhadap individu tertentu, sedangkan proses siasatan dan pendakwaan dikendalikan oleh agensi serta institusi berasingan.
Berucap pada Jelajah Aspirasi MADANI Melaka di Klebang hari ini, Anwar mempersoalkan dakwaan bahawa beliau menjadi pihak yang menentukan siapa perlu didakwa, sedangkan siasatan dijalankan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala keputusan pendakwaan dibuat oleh Peguam Negara.
“Saya nak tanya, yang kita dakwa siapa yang tak salah? Bagi tahu. Bukan saya dakwa. Siasat polis, SPRM. Yang dakwa peguam negara. Yang hukum hakim. Yang salah Anwar. Aih, kacau lah macam tu,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai respons Anwar terhadap kritikan yang mengaitkan dirinya dengan tindakan undang-undang terhadap individu tertentu, sekali gus menegaskan bahawa proses keadilan perlu dibezakan daripada campur tangan politik.
Anwar turut memberi gambaran bahawa beliau tidak seharusnya dipersalahkan secara langsung atas keputusan yang dibuat oleh institusi penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
Ini menjelaskan satu perkara, bahawa di bawah pentadbiran Anwar sebagai Perdana Menteri, bidang kuasa antara eksekutif, legislatif, dan judisiari benar-benar dibatasi.
Tidak melangkaui bidang kuasa masing-masing.
Tekanan politik yang selama ini menjadi momok menakutkan dalam kalangan penjawat awam berpangkat pegawai kanan seboleh mungkin diakhiri.
Negara harus berfungsi sebagaimana seharusnya, bukan mengikut nafsu politik mana-mana pihak.

