
KUALA LUMPUR – Seramai 28 daripada 54 mangsa tragedi banjir di Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu memenuhi syarat kelayakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sekali gus membolehkan waris mereka menerima faedah perlindungan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, berkata, bayaran keseluruhan berjumlah RM174,000 itu merangkumi bantuan kewangan segera sebanyak RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan kepada waris yang layak.
“Hari ini yang hadir 16 keluarga, daripada 28 keluarga yang layak. Saya memahami sehingga hari ini, keluarga masih berdepan ketidakpastian mengenai nasib insan tersayang. Saya sedar, tiada bantuan dapat menggantikan kerisauan ini.
“Namun, saya mewakili kerajaan tidak mahu keluarga menanggung beban ini bersendirian, khususnya waris yang kehilangan tempat bergantung. Justeru, Kesuma melalui Perkeso berusaha memastikan waris mangsa yang layak mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan berkata Perkeso melaksanakan semakan secara teliti bagi memastikan tiada waris yang memenuhi syarat tercicir daripada menerima perlindungan sewajarnya.
Menurutnya, pembayaran pencen akan dibuat sebaik sahaja semua maklumat dan dokumen berkaitan dilengkapkan.
“Bagi mangsa yang tidak mempunyai rekod caruman Perkeso, kami tetap prihatin dan mengambil berat tentang nasib keluarga anda.
“Melalui Program Social Synergy, Perkeso akan membantu menghubungkan keluarga yang terjejas dengan 990 rakan strategik termasuk 130 agensi di seluruh negara, bagi mengenal pasti bantuan lain yang bersesuaian untuk membantu meringankan beban mereka,” katanya.

