
KUALA LUMPUR – Rakyat terus dilindungi daripada kenaikan harga bahan api global dan ketirisan akibat penyeludupan dengan peruntukan hampir RM40 bilion subsidi bahan api di bawah Belanjawan 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan kekal dengan komitmen, meskipun belum ada kepastian konflik di Asia Barat akan mereda dan harga minyak kembali stabil.
“Justeru, kerajaan perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan berusaha sehabis mungkin bagi memastikan rakyat terus dilindungi,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Amir Hamzah berkata, melalui Program Budi Madani, rakyat akan terus menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga sebenar RM4.42 seliter, manakala bagi diesel bersubsidi, sehingga 400 liter pada harga RM2.10, berbanding harga sebenar RM5.27 seliter.

Amir Hamzah memaklumkan, terdapat cadangan daripada pakar ekonomi, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pakar tempatan supaya harga bahan api dan elektrik ditetapkan mengikut harga pasaran bagi semua rakyat, dengan bantuan tunai hanya diberikan kepada golongan miskin.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, Kerajaan MADANI tidak bersetuju dengan pendekatan sedemikian.
“Kita komited meneruskan penyasaran subsidi supaya rakyat terus dilindungi daripada kenaikan harga global, sementara ketirisan akibat penyeludupan dan manfaat subsidi dinikmati bukan warganegara dibendung.
“Justeru, komitmen hampir RM40 bilion ini adalah perlu untuk melindungi rakyat.
“Alhamdulillah, kita melaksanakan penyasaran subsidi sejak dua tahun lalu, yang memberi kita ruang untuk bertahan daripada krisis tenaga ini,” katanya.
Selain itu, Amir Hamzah memaklumkan, sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak RM12 bilion sudah disalurkan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang layak.
Hampir sembilan juta penerima (99.7 peratus) menggunakan SARA dengan nilai transaksi RM6.15 bilion ringgit, manakala bagi SARA Untuk Semua, digunakan 20.6 juta penerima (92 peratus) dengan nilai transaksi lebih RM1.95 bilion.
Berhubung dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Amir Hamzah berkata, kerajaan sentiasa memastikan dana tabung itu mencukupi untuk terus membiayai pelajar melanjutkan pembelajaran.
Bagi menggalakkan bayaran balik pinjaman PTPTN katanya, peminjam yang mempunyai rekod bayaran balik yang teratur dan tiada tunggakan akan diberikan diskaun 10 peratus, selain menggalakkan majikan membantu membuat bayaran balik pinjaman pekerja mereka dengan memberikan potongan cukai bagi tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.
“Berhubung saranan untuk memperkenalkan semula pengecualian bagi mereka yang mendapat Kelas Pertama di institut pengajian tinggi swasta (IPTS), kerajaan dan PTPTN akan mengkaji perkara ini, mengambil kira falsafah bantuan secara bersasar bagi memastikan dana PTPTN dalam beroperasi secara mampan demi generasi graduan yang akan datang,” katanya.

