Erik ten Hag
BEKAS pengendali Manchester United, Erik ten Hag tidak menolak kemungkinan bekas kelabnya itu tersingkir ke divisyen bawahan berikutan prestasi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Amaran itu dilontarkan selepas kekalahan 2-0 di tangan Chelsea pada Sabtu yang menyaksikan United kini hanya satu tangga di atas zon penyingkiran.
United berada di tangga ke-17 dengan tujuh mata daripada sembilan perlawanan, mengatasi Crystal Palace yang menghuni kedudukan terakhir zon penyingkiran menerusi perbezaan jaringan.
Menurut firma data Opta, United gagal menang dalam sembilan perlawanan terakhir, rekod terburuk tanpa kemenangan sejak 1984.
Barisan pengurusan United dilaporkan tetap mengekalkan pengendali semasa, Michael Carrick bagi perlawanan menentang Chelsea walaupun pasukan itu sebelum ini tewas 3-0 di laman sendiri kepada Bournemouth dan dibelasah 4-1 oleh Como dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Mengulas kemungkinan United tersingkir buat kali pertama dalam tempoh lebih setengah abad, Ten Hag mengakui perkara itu boleh berlaku.
“Dalam Liga Perdana Inggeris, perkara itu memang boleh berlaku kerana semua pasukan sangat kuat.
“Semua pasukan mempunyai skuad yang kuat dan pengendali yang bagus. Jika anda tersilap langkah dan benar-benar terperangkap dalam kitaran negatif itu, keadaan boleh menjadi sangat, sangat sukar,” katanya kepada ESPN.
Ten Hag menyertai United pada 2022 dan membimbing kelab itu meraih trofi Piala FA serta Piala Liga Inggeris sebelum dipecat pada 2024.
“Sebelum kami tiba, mereka tidak memenangi trofi selama enam tahun. Lihatlah kedudukan mereka sekarang,” kata pengendali dari Belanda itu yang dilantik sebagai pengarah teknikal FC Twente menjelang musim 2026-27.
United akan menerima kunjungan AS Roma dalam Liga Juara-Juara pada Selasa sebelum menentang Aston Villa dalam EPL pada Ahad.



