
KUALA LUMPUR – Produk tular Ozempic yang didakwa mampu menurunkan berat badan bernilai lebih RM400,000 telah dirampas oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Ubat berkenaan termasuklah anti diabetes tidak berdaftar serta ubat percubaan Retatrutide yang dijual secara haram dalam talian dan anggarkan bernilai lebih RM400,000.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu diambil susulan peningkatan trend pembekalan dan pembelian ubat-ubatan glucagon-like peptide-1 receptor agonist (GLP-1 RA) tanpa pemantauan klinikal dan kawalan sah pihak berkuasa.
“Bagi tempoh 2025 sehingga September 2026, sebanyak 12 serbuan berkaitan Retatrutide telah dilaksanakan secara rampasan 697 unit melibatkan RM341,000. Retatrutide adalah satu yang saya kira belum lagi dalam formulari kami.
“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga mengesan penjualan ubat Ozempic, (mengandungi bahan aktif Semaglutide) secara tidak sah. Bagi tempoh 2025 hingga September 2026, tujuh serbuan berkaitan produk ini dilaksanakan dengan rampasan berjumlah 62 unit melibatkan RM64,170,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai tindakan KKM dalam mengawal fenomena penjualan ubatan berkenaan dalam talian tanpa kawalan.
Dzulkefly berkata KKM menerusi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi mengekang aktiviti penjualan tidak sah yang dipromosikan menerusi platform e-dagang dan media sosial.
“Kita akan terus memantau secara lebih tegas penyalahgunaan e-dagang dan e-platform ini, sebab pada akhirnya yang kita mahu jaga adalah keselamatan dan nyawa rakyat,” katanya.
Menjawab soalan asal Ramkarpal mengenai jumlah dana bagi rawatan GLP-1 RA di bawah Belanjawan 2026, Dzulkefly berkata buat masa ini tiada peruntukan khusus bagi rawatan ubat GLP-1 seperti Ozempic, Tirzepatide dan Mounjaro.
Bagaimanapun, pesakit yang memerlukan boleh memohon menerusi Unit Ubat Kelulusan Khas (UKK) KKM menggunakan peruntukan sedia ada.
“Untuk rekod, sebanyak 240 permohonan rawatan telah diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2026 melibatkan kos keseluruhan RM2.56 juta,” katanya.


