
KOTA KINABALU – Sabah kekal menjadi tempat istimewa buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila negeri ini menjadi titik permulaan kisah cintanya bersama isteri, Dayang Nabellah Awang Astillah atau Bella Astillah.
Syed Saddiq berkata, perkenalan mereka menerusi beberapa program bersama di Sabah, termasuk mendaki Gunung Kinabalu dan menyantuni masyarakat di Semporna, membuka ruang untuk mengenali Bella dengan lebih dekat.
Katanya, pengalaman itu membolehkannya melihat sendiri sisi keibuan dan keprihatinan Bella, khususnya terhadap anak-anak serta masyarakat setempat.
“Saya melihat betapa Bella menyayangi anak-anaknya. Pagi, petang dan malam termasuk ketika waktu makan dia akan menghubungi mereka.
“Saya juga melihat sisi Bella yang sangat prihatin ketika kami mengunjungi kampung demi kampung.
“Sabah adalah tempat yang membuatkan saya jatuh cinta kepada isteri saya sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Bella Astillah dan Syed Saddiq (BASS) di Padang Merdeka, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut berkongsi pengalaman baharu sebagai suami kepada wanita kelahiran Sabah, termasuk mempelajari bahasa tempatan serta memahami kepentingan persefahaman dan pembahagian tanggungjawab dalam rumah tangga.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menyifatkan Sabah sebagai cerminan sebenar Malaysia yang majmuk menerusi kehidupan masyarakat berbilang bangsa, agama, suku kaum dan adat dalam suasana harmoni.
“Bila kita berbicara soal Malaysia yang majmuk, ia tidak lain tidak bukan merupakan cerminan sebenar di bumi Sabah. Jika mahu belajar tentang perpaduan dan kebahagiaan, tidak perlu melihat jauh. Pandang sahaja ke Sabah,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Sabah yang hadir bersama keluarga meskipun terpaksa berpanas-panasan bagi memeriahkan majlis berkenaan.
“Tadi bila masuk, saya jumpa ramai orang dan memberitahu mereka terbang daripada Brunei, ada datang daripada Sarawak, ada yang ambil kapal terbang daripada Johor datang ke sini, tak pernah saya sangkakan,” ujarnya.
Selain itu, Syed Saddiq merakamkan penghargaan kepada Bella kerana mengajarnya menjadi lelaki, suami dan bapa yang lebih baik, selain memperkenalkannya kepada kehidupan di luar kerjaya politik.
Beliau turut berjanji untuk menjadi bapa yang bertanggungjawab kepada dua anak Bella, Ara dan Ayden, sambil menghargai didikan serta kasih sayang yang diberikan ibu mereka.
Mengakhiri ucapannya, Syed Saddiq menyifatkan dirinya bertuah kerana dipertemukan dengan Bella dan berharap kebahagiaan rumah tangga mereka berkekalan.
Beliau turut berseloroh bahawa dirinya kini lebih kerap tersenyum selepas mendirikan rumah tangga bersama Bella.
Sementara itu, pengacara rasmi majlis, Adam Shamil menyifatkan peluang mengendalikan acara berkenaan sebagai satu penghormatan dan kenangan terindah buat dirinya serta rakyat Sabah.
“Ini merupakan kenangan yang terindah untuk kami semua rakyat Sabah. Terima kasih dan tahniah kepada Syed Saddiq dan Bella,” Kongsinya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan kehadiran lebih 15,000 pengunjung yang membanjiri Padang Merdeka seawal pukul 6 pagi bagi mendapatkan tempat duduk serta mengabadikan momen istimewa bersama pasangan BASS.



