
KUCHING – Pengamal media di negeri ini diiktiraf sebagai rakan strategik utama yang bertindak sebagai jambatan penyampai segala dasar, inisiatif, dan bantuan kebajikan kerajaan terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, peranan wartawan pada masa kini telah melangkaui sekadar tugasan menghasilkan berita harian.
Sebaliknya, beliau menyifatkan warga media sebagai mata, telinga, serta suara sebenar rakyat yang memastikan maklumat berkaitan perlindungan sosial dan kebajikan dapat difahami serta dimanfaatkan oleh segenap lapisan komuniti di Sarawak.
“Peranan media zaman sekarang bukan sekadar buat (polah) berita sahaja. Bagi kami di KPWKM, medialah jambatan yang menghubungkan segala dasar, inisiatif, serta bantuan kerajaan terus kepada masyarakat di akar umbi.
“Warga medialah mata, telinga, dan suara rakyat yang sebenar dalam menyampaikan maklumat mengenai bantuan, perlindungan, dan perkhidmatan yang disediakan,” katanya semasa berucap pada Program Malam Media KPWKM @ Sarawak, di sini pada Sabtu malam.

Nancy turut menyamakan semangat kewartawanan dengan intipati muzik rock yang melambangkan keberanian, keaslian, serta kemampuan menyampaikan mesej bermakna kepada audiens.
Menurut beliau, liputan meluas yang diberikan oleh pengamal media di Sarawak membolehkan pelbagai program pemerkasaan KPWKM sepanjang tahun 2026 sampai kepada kumpulan sasar secara berkesan.
Antara inisiatif yang digerakkan termasuk Program Wanita Bangkit Bersasar yang memberi peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada 3,584 wanita, Program KasihnITa melibatkan 6,945 ibu tunggal, serta Program Advokasi Antigangguan Seksual (AAGS) yang menyantuni 19,908 individu di seluruh negara.
“Sokongan media amat diperlukan terutamanya apabila KPWKM menerima peruntukan sebanyak RM4.355 bilion dalam Belanjawan MADANI 2027 bagi menyokong kebajikan kanak-kanak, warga emas, dan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kita berharap hubungan rapat, keterbukaan, dan kerjasama kukuh antara KPWKM dan media Sarawak ini akan terus diperkukuh pada masa-masa hadapan demi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan,” jelasnya.



