
KOTA KINABALU – Mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat kelulusan atau gagal mematuhi peraturan pembinaan di Gunung Kinabalu berdepan tindakan sewajarnya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan siasatan menyeluruh bersama Taman-Taman Sabah dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan semua aktiviti pembinaan mematuhi spesifikasi yang diluluskan serta keperluan perlindungan alam sekitar.
“Kelulusan projek bukan bermakna pihak pelaksana bebas menjalankan pembangunan tanpa batasan kerana setiap peringkat pelaksanaan perlu mematuhi undang-undang, peraturan dan syarat ditetapkan.
“Kementerian juga mengambil serius kebimbangan orang ramai susulan penyebaran gambar aktiviti pembinaan di Gunung Kinabalu yang mendapat perhatian di media sosial baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Ahad.
Menurut Jafry, aktiviti itu merupakan sebahagian daripada pembangunan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC), yang menyediakan kemudahan penginapan asas bagi menyokong latihan khusus altitud tinggi dan aktiviti pendakian.
“Projek berkenaan telah dicadangkan menerusi Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015, sebelum ditangguhkan susulan gempa bumi yang melanda gunung itu pada tahun sama dan dilancarkan semula secara rasmi pada 2025.
“Pembangunan HATC telah mendapat kelulusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah serta sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu,” jelasnya.
Mengulas kebimbangan terhadap kesan pembinaan, Jafry berkata projek itu menggunakan bahan binaan ringan, pasang siap dan modular bagi meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar, selain mengelakkan penggunaan jentera berat.
“Kementerian tidak akan berkompromi terhadap integriti ekologi Gunung Kinabalu dan memastikan semua kerja pembinaan mematuhi spesifikasi serta standard keselamatan ditetapkan.
“HATC bertujuan menyediakan kemudahan latihan kepada pendaki yang membuat persediaan untuk ekspedisi ke destinasi altitud tinggi seperti Gunung Kilimanjaro, Aconcagua dan Everest.
“Kemudahan itu turut menyokong latihan penyesuaian tubuh terhadap altitud, teknik pendakian serta penggunaan peralatan khusus, sekali gus berpotensi menarik penyertaan kelab dan organisasi pendakian antarabangsa,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif itu juga mampu membuka peluang ekonomi tambahan kepada komuniti setempat dan industri pelancongan Sabah menerusi pembangunan pelancongan pendakian yang lebih khusus.
“Bagaimanapun, Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan, sebaliknya warisan alam semula jadi dan budaya yang mempunyai hubungan mendalam dengan tradisi serta kepercayaan masyarakat pribumi.
“Kerajaan negeri kekal komited memastikan pembangunan pelancongan dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar dan warisan budaya Gunung Kinabalu,” tambahnya.



