
KANOWIT – Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana menzahirkan penghargaan kepada masyarakat di kawasan Nanga Dap atas sokongan, kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang lima tahun beliau memikul amanah sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, pelbagai usaha dan komitmen telah dicurahkan bagi memastikan kebajikan serta keperluan masyarakat setempat terus mendapat perhatian.
Menurutnya, beliau telah berusaha sedaya upaya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin, khususnya dalam membawa pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.

“Segala usaha telah dilakukan sepanjang tempoh lima tahun ini. Saya berharap apa yang telah diusahakan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan Kapitan di Pasar Nanga Dap pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anyi berkata, pelbagai kemudahan dan pembangunan telah diusahakan di kawasan tersebut termasuk bekalan elektrik, air bersih, jalan raya, kemudahan pendidikan serta liputan telekomunikasi.
Katanya, penyediaan kemudahan asas berkenaan penting bagi memastikan penduduk, termasuk masyarakat di kawasan pedalaman, dapat menikmati pembangunan dan kualiti hidup yang lebih baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua-ketua masyarakat, ketua kaum, tuai rumah, pemimpin akar umbi serta seluruh penduduk yang sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Anyi turut berharap masyarakat terus mengamalkan prinsip Segulai Sejalai sebagai asas perpaduan, selain mengekalkan semangat saling menghormati dan bekerjasama tanpa mengira perbezaan latar belakang atau pandangan.
Menurutnya, kesatuan dan sokongan masyarakat merupakan antara elemen penting dalam memastikan pembangunan kawasan dapat diteruskan demi kesejahteraan bersama.
Beliau berharap hubungan baik antara pemimpin dengan masyarakat akan terus dipelihara, selain mengajak semua pihak berganding bahu dalam menjayakan usaha pembangunan pada masa hadapan.



