
PASIR MAS – Tokoh ulama Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki menegaskan sebarang usaha menjatuhkan kerajaan yang memerintah secara adil adalah haram di sisi Islam dan disifatkan menyerupai golongan Khawarij,
Penasihat Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan itu berkata, gerakan sedemikian mengingatkannya kepada sejarah golongan Khawarij yang menentang pemerintahan Saidina Uthman RA dan berperang dengan Saidina Ali RA.
Menurut beliau, tindakan menggugat pemerintahan yang adil tidak sepatutnya berlaku, khususnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hukumnya adalah haram! Menjatuhkan kerajaan yang adil, hukumnya adalah haram. Orang yang berusaha menjatuhkan pemerintahan yang adil adalah (bersifat) Khawarij,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat di perkarangan Masjid Muhammadi, di sini, malam tadi.
Program berkenaan turut dihadiri Anwar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Timbalannya, Marhamah Rosli.
Sementara itu, Mudir Pondok Aur Cina, Abdul Rahman Omar berkata, tindakan segelintir pihak yang berterusan cuba menggugat kepimpinan negara mencerminkan sikap tidak bersyukur terhadap nikmat kestabilan yang dikecapi.
Beliau berkata, pelantikan seseorang pemimpin pada hakikatnya adalah ketetapan dan ketentuan Allah SWT, manakala sokongan rakyat serta proses pemilihan merupakan asbab dan wasilah yang membawa kepada pelantikan itu.
“Kita berdoa kepada Allah minta dipanjangkan umur beliau (Anwar) supaya beliau dapat memegang kerajaan ini sepanjang hayat kita, (supaya kita) dapat mengecap lebih banyak lagi nikmat yang akan diberi kepada kita semua, insya-Allah.
“Jadi, manusia ini sebenarnya apa pun tidak senang hati dia, itu orang munafik… tak bersyukur atas nikmat Allah… tak bersyukur atas kebaikan pemimpin-pemimpin yang begitu aman, kita tak boleh buat kegitu,” katanya.



