
KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM250 juta bagi pembinaan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral).
Anwar menyerahkan surat kelulusan peruntukan itu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Majlis Sebarkan Salam Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, kelulusan itu membuktikan kerajaan memberi perhatian kepada keperluan kemudahan pengangkutan awam di Kelantan, bukan hanya tertumpu kepada pembangunan lapangan terbang.
“Terminal bas ini tak baiki lagi. Lapangan terbang dah ada, jadi saya luluskan KB Sentral dan baru hantar surat kepada Menteri Besar.
“Kami luluskan bukan RM250,000, tapi RM250 juta,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan dakwaan bahawa Kerajaan MADANI tidak membantu Kelantan adalah tidak benar.
Sebaliknya, beliau menghargai keterbukaan Mohd Nassuruddin dalam menyuarakan keperluan negeri itu bagi memastikan isu berkaitan pembangunan dapat diberikan perhatian sewajarnya.
“Saya nak ucap terima kasih sebab Menteri Besar, dia sahabat dan berterus-terang. Setengah-setengah orang ada menafikan, kata Kerajaan MADANI tidak tolong, sama sekali tak betul.
“Menteri Besar Kelantan ini pula orang baik. Kalau ada Menteri Besar yang bengkeng, mungkin saya tidak akan luluskan dengan cepat,” katanya secara berseloroh.



