
Ezmie
KUALA PERLIS – Semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang atau tahap pendidikan berisiko menjadi mangsa penipuan dalam talian, sekali gus menjadikan pendedahan mengenai taktik jenayah itu penting sebagai langkah pencegahan awal.
Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Noor Amin Ahmad berkata, masyarakat perlu memahami pelbagai modus operandi penjenayah supaya mampu mengenal pasti cubaan penipuan sebelum mengalami kerugian.
“Saya sendiri pernah menjadi mangsa scam. Jadi, sebenarnya semua orang terdedah kepada ancaman ini, termasuk mereka yang selama ini merasakan tidak mungkin akan menjadi mangsa.
“Apabila penduduk mengetahui pelbagai teknik yang digunakan penjenayah, mereka boleh menjadi benteng pertahanan pertama sebelum sesuatu kejadian memerlukan tindakan pihak penguat kuasa,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan program Hasrat MADANI anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Dewan KRT Padang Semarak, Kampung Seberang Alor, baru-baru ini.
Menurut Noor Amin, program yang merangkumi dua sesi utama iaitu kenegaraan dan keselamatan itu, memberi pendedahan mengenai isu yang berkait rapat dengan kehidupan seharian masyarakat.
“Pengisian yang dibuat sangat baik kerana menyentuh dua perkara berbeza. Bagi kenegaraan, kita sebenarnya mengingatkan semula tentang sistem negara yang mungkin pernah dipelajari, tetapi lebih penting bagaimana ia berkait dengan kehidupan seharian.
“Begitu juga sesi bersama pihak polis yang memberikan contoh sebenar berkaitan jenayah penipuan dalam talian, termasuk taktik yang digunakan untuk memperdaya mangsa,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pendekatan santai yang digunakan sepanjang program berkenaan sebagai berkesan dalam menyampaikan maklumat kepada penduduk, khususnya masyarakat luar bandar.
“Walaupun program ini dilaksanakan secara santai, pengisiannya padat dan sangat bermanfaat.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan secara bersiri dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan,” katanya.
Program anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti Zon Utara itu mendapat kerjasama daripada Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

