
DARO – Penantian penduduk pesisir Sarawak untuk menikmati hubungan darat yang lebih lancar akhirnya menjadi kenyataan apabila Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer dibuka kepada pengguna pada Jumaat, sekali gus menamatkan operasi perkhidmatan feri yang dilaporkan beroperasi sejak 2009.
Pembukaan jambatan berkenaan yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan jaringan Jalan Pesisir Sarawak.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pembukaan jambatan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu memberikan kemudahan perhubungan lebih baik kepada penduduk, khususnya di Pulau Bruit dan kawasan sekitarnya.
Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan turut melengkapkan jaringan pengangkutan darat yang menghubungkan Sarikei, Pulau Bruit, Daro, Matu, Igan dan Mukah, selain memudahkan akses ke Sibu serta Kuching.
“Pembukaan jambatan ini menandakan berakhirnya kebergantungan kepada perkhidmatan feri, sekali gus menjimatkan masa perjalanan penduduk yang selama ini terpaksa menunggu giliran menyeberang sungai.

“Infrastruktur ini bukan sahaja memudahkan pergerakan harian dan logistik barangan, malah merancakkan aktiviti perniagaan serta membuka lebih banyak peluang sosioekonomi kepada usahawan tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Ahmad Johnie berkata, kemudahan itu merupakan antara pembangunan yang telah lama dinantikan masyarakat luar bandar, khususnya mereka yang bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menjalankan urusan harian.
Menurutnya, hubungan darat yang lebih lancar dijangka turut memberikan manfaat kepada sektor pertanian, perikanan dan pelancongan, selain memudahkan penghantaran hasil tempatan ke pasaran yang lebih luas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar.
Dalam pada itu, jambatan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk daripada 14 penempatan di Pulau Bruit.
Pembukaannya turut melengkapkan rangkaian jalan pesisir bersama Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang di Batang Rajang.
Rangkaian tersebut menyediakan pilihan laluan yang lebih baik kepada pengguna untuk menuju ke Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Kuching tanpa perlu bergantung kepada perkhidmatan feri di Batang Paloh.
Selain meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya, kemudahan baharu itu diharap dapat mempercepat pergerakan barangan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi masyarakat pesisir Sarawak.



