
TENOM – Ibu bapa di Sabah digesa supaya memastikan setiap kelahiran anak didaftarkan mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelakkan masalah berkaitan status pengenalan diri dan urusan rasmi apabila mereka meningkat dewasa.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang berkata, ketiadaan sijil kelahiran atau dokumen pengenalan diri boleh menimbulkan pelbagai kesulitan kepada anak-anak khususnya dalam mendapatkan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kerajaan dan urusan kehidupan harian.
“Ibu bapa tidak seharusnya mengambil mudah kepentingan dokumentasi anak-anak kerana perkara itu merupakan asas penting dalam memastikan hak serta identiti mereka diiktiraf,” katanya dalam kenyataan media selepas merasmikan Program Literasi MEKAR Sempena Hari Pendaftaran Negara Ke-78 Peringkat Negeri Sabah, pada Jumaat.
Rubin turut menyeru pemimpin masyarakat dan ketua kampung supaya memainkan peranan lebih aktif dalam membantu mengenal pasti penduduk yang berdepan masalah dokumentasi.
“Golongan berkenaan juga perlu bertindak sebagai penghubung antara masyarakat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan urusan mendapatkan maklumat serta bantuan berkaitan pendaftaran dan dokumen pengenalan diri.
“Pelaksanaan Program Literasi MEKAR menerusi pendekatan turun padang amat penting dalam memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman, khususnya di daerah Tenom dan Kemabong, mendapat akses lebih mudah kepada maklumat serta perkhidmatan pendaftaran negara,” ujarnya.

