YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Fadillah Yusof mempengerusikan mesyuarat Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement) antara Kerajaan MADANI dan Parti BERSATU di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. 29 Oktober 2026. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: These handout photographs are provided solely for editorial reporting purposes and may be used only for the contemporaneous illustration of the events, subj
KUALA LUMPUR – Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) menjadi landasan memperkukuh kestabilan politik negara serta memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, persefahaman itu turut memberi ruang kepada pelaksanaan agenda pembangunan negara, termasuk memastikan Belanjawan 2027 dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perbezaan pandangan dalam negara demokrasi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membina masa depan lebih baik.
“Kematangan politik menuntut semua pihak meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit, demi memastikan Malaysia terus aman, stabil dan maju serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
“Semoga persefahaman ini menjadi asas kepada kerjasama konstruktif, memperkukuh keyakinan terhadap proses demokrasi dan membuka ruang bagi memastikan Malaysia yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Beliau mengulas tindakan beberapa Ahli Parlimen, termasuk enam wakil rakyat Bersatu yang memeterai CSA bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen, hari ini.
Menerusi perjanjian itu, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen Bersatu terbabit pada kadar sama seperti yang diterima wakil rakyat kerajaan.
Bagaimanapun, jumlah sebenar peruntukan berkenaan belum dapat dipastikan, dengan anggaran antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun.
Enam Ahli Parlimen Bersatu berkenaan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Blok kerajaan di Dewan Rakyat kini mempunyai 149 Ahli Parlimen, termasuk Pakatan Harapan (PH) dengan 75 kerusi, Barisan Nasional (BN) sebanyak 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 23 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebanyak tujuh kerusi.
Tiga Ahli Parlimen Warisan turut berada dalam blok kerajaan, bersama masing-masing seorang wakil Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Lapan Ahli Parlimen Bebas turut menyokong kerajaan, termasuk enam bekas wakil Bersatu.
Sementara itu, blok pembangkang terdiri daripada Pas dengan 43 Ahli Parlimen, Bersatu (19), Parti Wawasan Negara (enam) dan Muda (seorang).
Empat kerusi Parlimen ketika ini kosong susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Dengan 218 Ahli Parlimen aktif ketika ini, majoriti mudah memerlukan sekurang-kurangnya 110 sokongan, manakala majoriti dua pertiga memerlukan 146 sokongan.


