KUALA LUMPUR, 24 Jun 2024 -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR – Kerajaan terus memberi keutamaan kepada usaha meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan 2027, dengan tumpuan kepada peningkatan pendapatan, pengukuhan bantuan sosial serta penyediaan perkhidmatan asas yang lebih berkualiti.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memahami keresahan rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup, khususnya ibu bapa yang perlu mengurus perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak, selain pekerja yang berusaha memastikan pendapatan mencukupi hingga hujung bulan.
Beliau berkata, kos sara hidup kekal menjadi antara persoalan utama rakyat yang menuntut perhatian dan tindakan kerajaan.
Justeru, usaha meringankan beban berkenaan dijadikan teras pertama Belanjawan 2027, termasuk melalui penyediaan bantuan kepada rakyat, dengan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) antara yang tertinggi dalam sejarah.
“Untuk makluman semua, setakat 22 Oktober, RM3.6 bilion telah disalurkan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) melalui tiga fasa bayaran. Keseluruhannya, jumlah STR dan SARA yang telah disalurkan kepada penerima yang layak mencecah hampir RM12 bilion.
“Hampir sembilan juta penerima telah menggunakan SARA dengan nilai transaksi RM6.1 bilion atau kadar penggunaan 99.7 peratus, manakala SARA Untuk Semua telah dimanfaatkan lebih 20 juta penerima dengan nilai transaksi melebihi RM1.9 bilion atau kadar penggunaan 92 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi meneruskan usaha meringankan perbelanjaan isi rumah, Amir Hamzah berkata, peruntukan STR dan SARA ditingkatkan kepada RM16 bilion pada 2027, dengan kadar bantuan SARA dinaikkan sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Penerima yang berdaftar di bawah eKasih pula akan menerima bantuan tambahan sehingga RM100, menjadikan jumlah bantuan SARA bulanan mereka sehingga RM250 atau RM3,000 setahun.
Beliau berkata, kerajaan turut memperluas penggunaan SARA bagi pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani dan tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mulai 2027.
Selain itu, penyertaan kedai runcit kecil dan koperasi sebagai Rakan Niaga SARA akan dipertingkatkan bagi memudahkan penerima mendapatkan barangan keperluan.
“Rangkaian Rakan Niaga SARA kini menghampiri 15,000 premis berbanding sekitar 700 pada 2024, dengan hampir 7,000 daripadanya terdiri daripada kedai runcit kecil dan koperasi.
“Peluasan itu bukan sahaja memudahkan rakyat, malah menyokong kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peruncit tempatan,” katanya.
Dalam aspek peningkatan pendapatan, Amir Hamzah berkata, kerajaan bersetuju menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja.
Kerajaan juga sedang merangka kerangka gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dengan kadar permulaan RM2,500 sebulan.
Beliau berkata, Gaji Kehidupan Wajar bagi pekerja syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,400 mulai 2027, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.
Dalam masa sama, kerajaan memberi perhatian kepada kebajikan kira-kira 600,000 pemandu perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.
Usaha itu termasuk rundingan menerusi Majlis Perundingan Gig berhubung kadar pendapatan minimum serta kerjasama dengan Grab melalui pakej pembiayaan bersama bernilai RM160 juta bagi meningkatkan pendapatan bersih bulanan pekerja terbabit.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan turut menambah baik bantuan kebajikan, termasuk meningkatkan peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM3.3 bilion.
Peningkatan peruntukan itu antaranya membolehkan kadar Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar dinaikkan kepada RM600 sebulan, manakala ambang pendapatan kelayakan Elaun Pekerja OKU ditingkatkan kepada RM2,000.
Bagi meringankan beban ibu bapa, Bantuan Awal Persekolahan turut dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi semua 5.3 juta murid, dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion.
Dalam sektor kesihatan, kerajaan menyediakan RM200 juta bagi memperkukuh program penyumberluaran rawatan pesakit bagi mengurangkan tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan.
Amir Hamzah berkata, pelan insurans dan takaful perubatan asas sukarela, MediAsas, dijadual dilancarkan pada akhir Januari 2027.
Katanya, kerajaan turut membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia bawah 55 tahun membayar premium MediAsas menggunakan Akaun Sejahtera.
Langkah itu merupakan antara pendekatan kerajaan bagi memastikan kemampanan kos pelan berkenaan dalam jangka panjang.


