UMNO digesa menjelaskan pendiriannya dalam Kerajaan Perpaduan susulan dakwaan parti itu bekerjasama dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, UMNO tidak seharusnya terus menikmati kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sekiranya pada masa sama mengambil langkah yang boleh menjejaskan rakan gabungannya dalam pilihan raya negeri.
Beliau berkata, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk bekerjasama dengan Pas dan PN, termasuk membantu calon PN serta melancarkan manifesto bersama, menimbulkan persoalan mengenai prinsip dan kesetiaan politik parti itu.
Menurutnya, keadaan berkenaan memperlihatkan percanggahan antara kerjasama politik di peringkat pusat dengan tindakan UMNO di gelanggang pilihan raya negeri.
“Di Putrajaya, UMNO duduk semeja dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan. Tetapi di Melaka, UMNO memilih untuk berpakat dengan Pas dan PN bagi menghadapi PH.
“Di satu meja mengaku rakan, tetapi di gelanggang pilihan raya membantu pihak yang menentang rakan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mahfuz menyifatkan tindakan itu sebagai satu persoalan serius yang perlu dijelaskan secara terbuka kepada rakyat, khususnya berhubung kejujuran dan komitmen UMNO terhadap kerjasama politik yang sedang berlangsung.
Beliau turut mempersoalkan sama ada UMNO benar-benar komited untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan atau sekadar mahu mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan, sedangkan pada masa sama bekerjasama dengan pihak yang menentang PH.
Menurutnya, UMNO perlu berterus terang sekiranya Pas dan PN kini menjadi pilihan utama parti itu dalam membentuk kerjasama politik.
“Kalau UMNO benar-benar memilih Pas dan PN sebagai rakan politiknya, nyatakan dengan berani. Jangan berselindung di sebalik alasan politik negeri berbeza daripada politik pusat, sedangkan keputusan sendiri menunjukkan kerjasama pilihan raya yang nyata,” katanya.
Beliau berkata, UMNO juga perlu menjelaskan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya memilih untuk bekerjasama dengan Pas dan PN bagi menghadapi PH di Melaka.
Mahfuz mengingatkan bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa menerima percanggahan politik sebagai sesuatu yang biasa hanya kerana ia menguntungkan parti tertentu.
Katanya, kepercayaan rakyat terhadap sesebuah parti bukan sahaja bergantung pada janji yang dibuat, malah turut ditentukan oleh keselarasan antara pendirian dengan tindakan.
“Jangan sampai rakyat melihat UMNO sebagai parti yang mahu menikmati hasil sebuah kerjasama, tetapi pada masa sama membantu melemahkan rakan yang menjayakannya.
“Jika prinsip boleh berubah mengikut gelanggang, bagaimana rakyat hendak mempercayai janji yang dibuat selepas pilihan raya?” katanya.
Bagi menggambarkan keadaan itu, Mahfuz menggunakan perumpamaan ‘musang berbulu ayam’ bagi menyifatkan percanggahan yang didakwanya berlaku dalam pendirian politik UMNO.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu berkenaan bukan sekadar membabitkan perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sebaliknya menyentuh soal kepercayaan rakyat terhadap makna perkongsian kuasa, janji politik dan tanggungjawab kepada negara.
“Jangan berteduh di bawah pokok yang sama sambil membantu pihak lain menggergaji batangnya. Kalau benar sudah memilih jalan yang berbeza, berterus teranglah kerana maruah politik tidak boleh dibina dengan dua wajah dan dua pendirian,” katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa pimpinan UMNO menjelaskan sama ada parti berkenaan masih komited terhadap Kerajaan Perpaduan atau memilih untuk memperkukuh kerjasama dengan Pas dan PN bagi menghadapi PH.
“UMNO sudah memilih gelanggang, sekarang berani atau tidak memilih pendirian?
“Kalau UMNO sudah memilih untuk berpakat dengan Pas dan PN bagi menentang PH di Melaka, mengapa UMNO masih mahu terus menikmati kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya?” katanya.

