
SERAMAI 691 guru di seluruh negara dikenal pasti memerlukan intervensi segera berkaitan kesejahteraan psikologi hasil saringan terhadap 82,126 guru yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dapatan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi) menunjukkan 636 guru berada pada tahap sederhana, manakala 32 lagi pada tahap sederhana rendah dan 23 pada tahap rendah.
Beliau berkata, jumlah itu mewakili 0.84 peratus daripada keseluruhan guru yang menjalani saringan, sementara 99.16 peratus atau 81,435 guru mencatatkan tahap kesejahteraan psikologi yang baik.
“Daripada jumlah berkenaan, seramai 50,869 guru berada pada tahap tinggi, manakala 30,566 lagi pada tahap sederhana tinggi.
“Meskipun majoriti guru menunjukkan tahap kesejahteraan psikologi yang baik, KPM tetap memberi perhatian terhadap kumpulan yang memerlukan sokongan melalui pendekatan intervensi menyeluruh merangkumi aspek pembangunan, pencegahan dan pemulihan.
“Antara bantuan disediakan ialah perkhidmatan kaunseling individu dan kelompok, ujian psikologi, bimbingan serta konsultasi, selain program pengurusan tekanan dan sokongan emosi kepada warga Kementerian,” katanya
“Pendekatan intervensi dimulakan dengan pengesanan dan pengenalpastian keperluan individu, diikuti intervensi psikologi dan kaunseling yang bersesuaian.
“Langkah yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada isu dan keperluan individu, termasuk pengurusan kewangan, masalah hutang serius, prestasi sederhana serta isu berkaitan kesihatan mental,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai bilangan guru dalam kategori masalah kesihatan dan kecelaruan mental, selain langkah intervensi serta bantuan sokongan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan dan kerjaya.
Fadhlina berkata, bagi guru yang berdepan situasi krisis, intervensi turut membantu menstabilkan emosi, mengenal pasti kekuatan diri serta sumber sokongan yang tersedia, di samping membina pelan tindakan bagi membolehkan mereka kembali berfungsi dengan baik.
Katanya, usaha itu bukan sekadar menangani masalah yang sedang dihadapi, malah bertujuan memperkukuh keupayaan guru untuk mengekalkan kesejahteraan psikologi dalam jangka panjang supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dan kerjaya dengan lebih berdaya tahan.
Selain sokongan psikologi dan kaunseling, KPM turut memperuntukkan RM200 juta bagi menaik taraf bilik guru, termasuk tambahan peruntukan baharu sebanyak RM100 juta.
“Inisiatif itu bertujuan menyediakan ruang kerja yang lebih selesa, kemudahan asas yang lebih baik serta persekitaran profesional dan kondusif bagi menyokong pelaksanaan tugas harian guru.
“Persekitaran kerja yang sesuai bukan sahaja meningkatkan keselesaan, malah memainkan peranan dalam menyokong kesejahteraan fizikal, emosi dan psikologi warga pendidik, sekali gus membantu meningkatkan motivasi serta produktiviti,”ujarnya.
Fadhlina menegaskan KPM akan terus memperkukuh perkhidmatan psikologi dan kaunseling serta melaksanakan intervensi bersesuaian mengikut keperluan warga pendidikan bagi memastikan kesejahteraan psikologi guru terus dipelihara.
Foto: Bernama


