
KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan ahli Dewan Negara Perak dan pembesar diraja supaya tidak menjadikan istana sebagai medan perebutan kuasa, pengaruh dan kepentingan peribadi sehingga menjejaskan peranan institusi beraja sebagai payung penyatuan rakyat.
Baginda bertitah, sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan menerusi perbincangan secara jujur, berhemah dan penuh kesopanan, berlandaskan semangat musyawarah serta menghormati pandangan berbeza.
“Kepentingan negeri hendaklah sentiasa diutamakan mengatasi kepentingan peribadi. Janganlah terlalu menjaga kedudukan sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lebih besar,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Dewan Negara Perak Kali Ke-175 di Istana Iskandariah, di sini, pada Khamis.

Sultan Nazrin turut menegaskan pembesar diraja tidak boleh menyalahgunakan kedudukan, gelaran atau pengaruh istana untuk mendapatkan keuntungan peribadi, peluang perniagaan atau membantu pihak tertentu secara tidak wajar.
Sebaliknya, setiap amanah perlu dilaksanakan dengan penuh integriti serta menjauhi rasuah dan salah guna kuasa yang boleh mencemarkan nama baik institusi Raja.
Menurut baginda, kemuliaan seseorang pembesar bukan terletak pada pangkat atau gelaran, sebaliknya pada budi pekerti, kebijaksanaan, kejujuran dan sumbangan kepada masyarakat.
Baginda turut mengingatkan ahli Dewan Negara Perak supaya memahami batas kuasa institusi beraja dalam sistem Raja Berperlembagaan, selain memastikan hubungan kerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dilaksanakan secara profesional.
Institusi diraja, titah baginda, tidak seharusnya mencampuri urusan pentadbiran kerajaan atau menggunakan kedudukan untuk kepentingan politik kepartian.
“Istana hendaklah terus dihormati sebagai institusi yang menaungi rakyat dan memayungi seluruh negeri.
“Apabila rakyat melihat pembesar diraja melaksanakan amanah dengan adil, berkhidmat penuh tanggungjawab serta sentiasa menjaga tutur kata dan tingkah laku, keyakinan rakyat terhadap institusi beraja akan semakin kukuh,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menegaskan kesetiaan kepada Raja menuntut keikhlasan dan keberanian menyampaikan pandangan yang benar, termasuk memberikan teguran secara berhemah berlandaskan ilmu dan fakta.
Baginda juga mengingatkan pembesar diraja supaya menjaga kerahsiaan, berhati-hati menggunakan media sosial serta menjauhi pertelingkahan dan perebutan pengaruh.
“Jadilah contoh teladan kepada ahli keluarga, pegawai, kakitangan dan masyarakat. Buktikan bahawa mereka yang dekat dengan Raja memahami tanggungjawab yang dipikul, dan mereka yang menerima penghormatan juga tahu menghormati orang lain,” titah baginda.
Mesyuarat itu turut dihadiri Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain, Raja Kechil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

