
KUALA LUMPUR – MyEG Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Zetrix AI Bhd, dikenakan taksiran cukai pendapatan tambahan berjumlah RM353.13 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada Rabu.
Zetrix AI dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, taksiran berkenaan membabitkan penentuan harga pindahan sebanyak RM333.10 juta serta faedah yang dianggap terakru berjumlah RM20.02 juta bagi tahun taksiran 2021 hingga 2023, termasuk penalti.
“Surat daripada LHDN itu turut memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah memfailkan saman sivil terhadap MyEG berhubung perkara berkenaan,” maklumnya.
Bagaimanapun, Zetrix AI berkata, MyEG yakin dengan kewajaran pendiriannya dan akan mengambil segala langkah perlu bagi melindungi kepentingan syarikat.
Katanya, MyEG bersedia mempertahankan pendiriannya menerusi saluran undang-undang sewajarnya sekiranya diperlukan.

Dalam pada itu, MyEG turut memfailkan rayuan bagi mencabar taksiran cukai pendapatan tambahan berkenaan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.
“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut mengenai sebarang perkembangan penting berhubung prosiding undang-undang tersebut,” menurut makluman itu.
Dalam perkembangan berasingan, Zetrix AI memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada kerajaan berhubung laporan berita dua hari lalu yang mendakwa kerajaan merancang untuk menyaman syarikat itu berkaitan tunggakan berjumlah RM314 juta.
Menurutnya, pengumuman sewajarnya akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan penting berhubung perkara berkenaan.

