Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Seramai 130 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan dalam serbuan ke atas pusat penipuan dalam talian di Rawalpindi, Pakistan yang dipercayai menyasarkan mangsa di negara ini.
Portal berita Pakistan, ProPakistani melaporkan, Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan Pakistan menyerbu sebuah premis di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII selepas memperoleh waran mahkamah.
Hasil pemeriksaan ke atas peranti digital dan peralatan di premis itu mendapati lokasi berkenaan digunakan untuk menjalankan penipuan kewangan terhadap rakyat Malaysia.
“Suspek menghubungi rakyat Malaysia melalui aplikasi panggilan internet dengan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bank dan memaklumkan kononnya terdapat transaksi mencurigakan dalam akaun mereka,” menurut laporan itu.
Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis Malaysia, malah ada yang memakai pakaian seragam polis dan menggunakan latar belakang menyerupai pejabat ketika membuat panggilan video.
Mangsa seterusnya diugut dengan dakwaan pengubahan wang haram dan kes jenayah sebelum didesak memindahkan wang menerusi Touch ‘n Go eWallet yang kemudiannya ditukar kepada mata wang kripto.
Siasatan mendapati sindiket itu dipercayai dikendalikan seorang rakyat Malaysia yang beroperasi dari Kemboja dengan bantuan penyelia dan pengurus pusat panggilan di Pakistan, manakala seorang warga China dipercayai bertanggungjawab menukar kripto kepada wang tunai.
Menurut laporan itu, semua 130 individu yang ditahan disahkan rakyat Malaysia dan ada di antara mereka mempunyai visa tamat tempoh serta disyaki berada di Pakistan tanpa dokumen imigresen sah.
Bagaimanapun, peranan sebenar setiap individu, jumlah kerugian dan bilangan mangsa masih dalam siasatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah Elektronik Pakistan 2016 serta Kanun Keseksaan berkaitan pemerasan dan penipuan.


