
KANOWIT – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana menyerahkan sepenuhnya keputusan pemilihan calon bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
Beliau yakin kepimpinan parti mempunyai pertimbangan sewajarnya dalam menilai dan menentukan calon yang layak mewakili kawasan itu.
Perkara tersebut dinyatakan ketika berucap pada Program Santai Bersama Komuniti di Rumah Lawrence Angkin, Nanga Terusa, Rantau Dilang, pada 27 Oktober lalu.

Dalam ucapannya, Anyi turut mengimbas pelbagai usaha pembangunan dan kebajikan yang dilaksanakan sepanjang lima tahun perkhidmatannya sebagai wakil rakyat Ngemah.
Antara inisiatif berkenaan termasuk projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
Selain itu, beliau turut menyentuh bantuan dan insentif kepada pelajar, bantuan kematian serta penyediaan kerusi roda kepada golongan yang memerlukan.
Anyi merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ngemah atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru masyarakat supaya mengamalkan politik matang serta tidak membiarkan perbezaan pendirian politik menjejaskan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
Beliau turut menekankan kepentingan memelihara perpaduan dan keharmonian masyarakat, khususnya ketika negeri menghampiri pilihan raya.
Program santai bersama komuniti itu juga disifatkan sebagai platform penting untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan penduduk, selain membuka ruang interaksi secara lebih dekat.
Anyi berharap hubungan baik dan semangat kebersamaan yang terjalin dalam kalangan masyarakat Ngemah dapat terus dipelihara tanpa mengira perbezaan pandangan politik.



