
MADRID – Angka korban akibat perlanggaran dua tren berkelajuan tinggi di tengah Sepanyol pada Rabu meningkat kepada sekurang-kurangnya 64 orang, menurut kerajaan wilayah Castilla-La Mancha.
Insiden yang berlaku berhampiran Urda, kira-kira 130 kilometer ke selatan Madrid itu menjadikan tragedi berkenaan lebih buruk berbanding nahas tren berhampiran Adamuz pada Januari lalu.
Jurucakap kerajaan wilayah, Esther Padilla berkata, perlanggaran berlaku apabila dua gerabak tren dikendalikan syarikat swasta Iryo tergelincir dan terjunam ke bawah benteng landasan selepas dilanggar dari belakang.
Menurut penyiar awam Sepanyol, RTVE, ketika kejadian tren Iryo membawa 146 penumpang dan seorang bayi, manakala 397 penumpang menaiki tren kedua kendalian syarikat kereta api kerajaan, Renfe.
Punca kemalangan masih dalam siasatan, namun sumber pengendali infrastruktur kereta api Sepanyol, Adif memaklumkan tren Iryo dipercayai berhenti atas sebab yang belum diketahui sebelum dirempuh tren Renfe sejurus sebelum jam 9 pagi waktu tempatan.
Kedua-dua tren dilaporkan dalam perjalanan menuju ke selatan ke arah Andalusia.

