KOTA KINABALU – Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta memberikan penjelasan lanjut berhubung isu pembatalan projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Mohd Nur Hilmie Milus berkata, perkara itu susulan persoalan mengenai penyaluran dan pengurusan peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Kementerian Kewangan pada 2 September lepas menjelaskan bahawa peruntukan bagi jalan luar bandar KKDW telah disalurkan sepenuhnya, manakala rekod perbelanjaan kementerian itu bagi tempoh 2023 hingga 2025 menunjukkan jumlah perbelanjaan melebihi peruntukan asal yang diluluskan.
“Persoalannya, jika peruntukan telah disalurkan dan penyelarasan kewangan telah diluluskan, mengapa masih timbul isu pembatalan projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak?
“Siapa sebenarnya yang membuat keputusan pembatalan tersebut dan apakah alasan sebenar serta di manakah berlakunya masalah perancangan serta penyelarasan kewangan?,” soalnya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Menurut Hilmie, Zahid sewajarnya memberikan penjelasan menyeluruh bagi mengelakkan isu pentadbiran berkenaan menimbulkan pelbagai persepsi dan spekulasi politik.
Katanya, perkara itu turut mengingatkan agar sebarang kelemahan dalam penyelarasan atau pengurusan peruntukan di peringkat kementerian tidak menimbulkan tanggapan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipersalahkan.
“Rakyat Sabah dan Sarawak berhak mengetahui kedudukan sebenar. Jika terdapat kekangan kewangan, bentangkan faktanya.
“Jika projek dibatalkan, jelaskan siapakah yang mengarahkan serta apakah langkah penyelesaiannya.
“Janganlah rakyat terus disajikan dengan polemik mengenai siapa yang patut dipersalahkan, sedangkan keperluan pembangunan luar bandar masih menuntut penyelesaian segera.
“Rakyat Sabah dan Sarawak mahukan jalan yang disiapkan, bukannya polemik politik yang tidak berkesudahan,” ujarnya.
Foto: AMK



