
KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membayar sebanyak RM42.5 bilion bagi memenuhi hutang dan komitmen syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setakat 31 Ogos lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, baki komitmen Sukuk Islam dan Nota Jangka Sederhana (MTN) yang dijamin kerajaan pula berjumlah RM8.9 bilion, merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga tempoh matang pada 2039.
“Ini menjadikan keseluruhan tanggungan yang telah dibayar dan masih perlu dibayar sebanyak RM51.4 bilion.
“Setelah mengambil kira pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, beban bersih kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion sekiranya tiada pemulihan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.

Amir Hamzah menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai sasaran akhir penyelesaian baki liabiliti bersih 1MDB yang dianggarkan RM20.1 bilion, termasuk jumlah aset dan tuntutan yang masih dalam proses pemulihan.
Menurutnya, kerajaan melalui 1MDB terus mempergiat usaha mendapatkan pampasan serta memulihkan aset dan dana berkaitan menerusi tindakan undang-undang dan mekanisme pemulihan aset di dalam serta luar negara.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah pemulihan tambahan yang boleh diperoleh masih bergantung pada keputusan mahkamah, proses rayuan, aset yang berjaya dikesan serta keupayaan menguatkuasakan perintah, khususnya di luar negara.
“Oleh itu, nilai yang dituntut atau diperintahkan oleh mahkamah belum boleh dianggap sebagai jumlah yang pasti akan diterima.
“Walaupun terdapat potensi baik mendapat pemulihan tambahan berdasarkan kekuatan kes kerajaan untuk menuntut pampasan daripada pihak yang bertanggungjawab, namun pemulihan tambahan tidak akan menokhtahkan kerugian daripada 1MDB ataupun yang ditanggung negara,” katanya.


