KUALA LUMPUR, 24 Jun 2024 -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka menjana penjimatan fiskal antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, dengan jumlah sebenar penjimatan subsidi bahan api bagi tahun ini akan dimuktamadkan pada hujung tahun.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengiraan akhir akan mengambil kira transaksi sebenar, harga pasaran mingguan, kadar pertukaran mata wang serta jumlah penggunaan bahan api yang disahkan.
Menurutnya, penjimatan itu terhasil daripada pelaksanaan penyasaran subsidi secara menyeluruh, termasuk mengurangkan ketirisan kepada bukan warganegara dan kategori pengguna yang tidak layak.
“Penjimatan itu merupakan hasil pelaksanaan penyasaran subsidi secara menyeluruh, termasuk mengurangkan ketirisan subsidi kepada bukan warganegara dan kategori pengguna yang tidak layak, serta pembelian yang tidak selaras dengan objektif perlindungan sosial kerajaan.
“Kerajaan akan terus memastikan penjimatan berkenaan dimanfaatkan semula bagi memperkukuh bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta inisiatif lain yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta penjelasan mengenai jumlah sebenar penjimatan subsidi bahan api sepanjang tahun ini di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata, kerajaan akan terus mengambil pendekatan responsif berasaskan data dengan memantau perkembangan bekalan dan harga tenaga global, kedudukan fiskal negara serta maklum balas rakyat.
Katanya, susulan keadaan bekalan bahan api yang lebih stabil dan perbelanjaan subsidi semasa sekitar RM4 bilion sebulan, kerajaan menaikkan semula had kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan berkuat kuasa 1 September 2026.
Beliau menjelaskan, had kelayakan sebelum ini dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan sebagai langkah awal yang bersasar bagi memastikan bekalan bahan api negara terus terjamin ketika berdepan ketidaktentuan bekalan global.
Ketidaktentuan itu berlaku susulan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan terhadap pasaran tenaga dunia.
Kerajaan, katanya, akan terus menilai pelaksanaan subsidi berdasarkan keadaan semasa bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang layak, di samping menjaga kedudukan kewangan negara.



