
KUALA LUMPUR – Pemegang Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) diwajibkan memperbaharui kad setiap tahun dan tidak dibenarkan merentas negeri tanpa kebenaran khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan langkah itu merupakan sebahagian daripada mekanisme kawalan bagi memastikan keberadaan dan pergerakan pelarian di Malaysia dapat dipantau serta diurus secara berkesan.
Menurut kementerian itu, pendaftaran dan penentuan status pelarian menerusi program DPP menjadi asas kepada kerajaan untuk menentukan tindakan bersesuaian, termasuk penghantaran pulang apabila keadaan mengizinkan atau penempatan semula ke negara ketiga.
“Pergerakan pemegang Kad DPP dikawal mengikut zon geografi dan dilarang merentas negeri tanpa kebenaran khas JIM. Kad DPP wajib diperbaharui setiap tahun,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
KDN memaklumkan program DPP dilaksanakan secara berfasa sejak 1 Januari 2026, bermula dengan individu di depot tahanan imigresen sebelum diperluas kepada mereka yang berada dalam komuniti, termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta individu yang mendakwa diri sebagai pelarian atau pemohon suaka.
Proses itu merangkumi pendaftaran maklumat peribadi, pengambilan data biometrik, semakan latar belakang, tapisan keselamatan dan penentuan status pelarian oleh kerajaan.
Menurut KDN, pemilikan kad UNHCR tidak secara automatik mengiktiraf seseorang sebagai pelarian di sisi kerajaan Malaysia kerana pengesahan hanya diberikan selepas individu berkenaan melepasi proses penentuan status dan tapisan keselamatan di bawah DPP.
Kementerian itu menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai langkah kerajaan memastikan pemegang kad UNHCR di Malaysia dapat dikenal pasti, dipantau dan diurus dengan berkesan selaras dengan undang-undang negara.
KDN berkata maklumat yang dikumpulkan menerusi DPP akan menjadi pangkalan data rasmi kerajaan bagi mengenal pasti identiti, status dan keberadaan golongan berkenaan.
Pangkalan data itu juga membolehkan pemantauan serta penyelarasan tindakan agensi berkaitan dilaksanakan berdasarkan maklumat yang sahih dan boleh disahkan.
Dalam pada itu, kementerian menegaskan pelaksanaan DPP tidak memberikan kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.
Dalam jawapan berasingan kepada soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah), KDN memaklumkan pemegang Kad DPP akan diberikan akses bersyarat kepada sektor pekerjaan formal.
Menurut kementerian itu, kebenaran bekerja secara bersyarat turut menjadi alternatif kepada pengambilan pekerja asing baharu dari luar negara, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi negara terhadap tenaga kerja asing.
Selain mengawal pergerakan dan keberadaan pelarian, pelaksanaan DPP dijangka membantu kerajaan menyelaraskan pengurusan golongan berkenaan berdasarkan status yang telah disahkan serta keperluan keselamatan negara.


