Wan Rosdy Wan Ismail
LIPIS – Sebanyak 225.11 tan metrik bekalan makanan kering bernilai RM3.78 juta disediakan kerajaan Pahang sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, khususnya di kawasan berisiko terputus hubungan jalan darat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 332,906 unit pek makanan kering itu akan diagihkan ke 167 pangkalan hadapan di 11 daerah seluruh negeri.
Menurutnya, langkah proaktif itu dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa banjir sekiranya berlaku bencana secara tiba-tiba atau banjir kilat.
“Bekalan ini akan diagihkan kepada sebanyak 167 pangkalan hadapan dan ini adalah perkara biasa. Setiap tahun kita laksanakan.
“Kita mengambil tindakan proaktif sekiranya berlaku banjir kilat ataupun bencana secara tiba-tiba, kita telah menyediakan barangan kering untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya, seperti dilapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Penghantaran Barang Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Negeri Pahang bagi MTL 2026/2027 di FELDA Sungai Koyan, dekat sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta secara terus kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tujuan penyediaan bekalan tersebut.
Katanya, semua barangan disediakan telah disemak bagi memastikan tempoh simpanan sesuai dan tidak luput dalam masa terdekat.
“Kita pun dah fikir secara maksimum dan sehabis baik dan barang-barang itu semua kita telah lihat supaya ia tidak tamat tempoh dengan cepat.
“Barangan yang diagihkan ini ada tarikh luput dan boleh disimpan untuk beberapa bulan,” katanya.
Penghantaran bekalan ke semua pangkalan hadapan itu dijadualkan berlangsung selama dua minggu sehingga 14 November ini.



