
MUKAH – Taktik seorang pengawal keselamatan yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah terbongkar selepas ditahan pihak polis di tepi Jalan Mukah-Balingian, di sini pada Selasa.
Tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerusi operasi Op Tapis Khas kira-kira jam 5.20 petang.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian membawa kepada penemuan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) dengan berat kasar 0.45 gram bernilai anggaran RM50.
“Hasil ujian saringan awal air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Muhamad Rizal menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan mendedahkan mula terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak Jun 2026.
Katanya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah dan Mahkamah Majistret Mukah meluluskan tempoh reman selama empat hari sehingga 1 November 2026 bagi melengkapkan siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
“Pihak BSJN IPD Mukah sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek,” katanya.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di daerah ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah dadah diseru untuk menyalurkannya kepada pihak polis demi membantu membanteras gejala berkenaan.



