
KUCHING – Seorang guru wanita menerima 16 jahitan pada tangan kiri selepas berdepan detik cemas diserang seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang membawa kapak dan mercun di sebuah sekolah swasta di sini, pada 21 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa yang berusia 42 tahun beruntung kerana kecederaan yang dialaminya disahkan tidak melibatkan otot mahupun tulang.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Polis (DCP) Saifullizan Ishak mengesahkan bahawa mangsa telah menerima rawatan susulan di Hospital KPJ Kuching.

“Suspek yang merupakan pelajar di sekolah berkenaan telah ditangkap di lokasi kejadian. Remaja itu kini masih menerima rawatan di hospital dan berada di bawah penilaian psikiatri oleh pakar perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Saifullizan menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada suspek yang mengalami kemurungan.
Pihak polis turut merampas pelbagai barangan kes di tempat kejadian termasuk sebilah kapak, pisau, mercun yang telah diubah suai, serta komputer dan gajet.
Kesemua barangan tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Makmal Forensik untuk analisis lanjut.

“Sehingga kini, seramai 38 orang saksi terdiri daripada pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan, serta ibu bapa suspek telah dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Kertas siasatan yang lengkap telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober lalu untuk tindakan dan kajian lanjut.
Polis dalam pada itu menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan demi menghormati proses siasatan serta menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.
Foto: Bilik Berita CATS



