
KUANTAN – Wartawan Astro AWANI, Mohd Zalani Md Atan, 66, meninggal dunia ketika tidur di kediamannya di sini pada petang tadi, selepas dilaporkan demam dan mengalami kesukaran berjalan sejak beberapa hari lalu.
Perkara itu dimaklumkan isterinya, Suaibatul Aslmiah Abu Bakar, 52, ketika ditemui rakan media di Masjid Saidina Ali bin Abi Talib dekat Bukit Sekilau, di sini.
Menurut Suaibatul Aslmiah, keadaan arwah agak lemah pada pagi tadi, namun masih boleh berbual dengannya dan mempunyai selera makan.
“Dalam dua tiga hari ini, arwah nampak seperti biasa sahaja. Tiada pesanan atau nasihat yang ditinggalkan kepada saya dan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata, arwah mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Allahyarham meninggalkan empat orang anak, iaitu tiga hasil perkahwinan bersama beliau dan seorang daripada perkahwinan terdahulu.
“Dua anak kami sudah bekerja, masing-masing berusia 26 dan 28 tahun, manakala seorang lagi masih bersekolah di Tingkatan Tiga dan merupakan anak perempuan bongsu,” katanya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali selepas solat Isyak.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.




