
PEMIMPIN Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti itu selama tiga bulan susulan pengakuannya ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes khalwat pada 15 Oktober lalu.
Presiden Bersama, Syukri Razab berkata, setiap isu membabitkan kepimpinan dan anggota perlu ditangani sewajarnya bagi memelihara integriti, kredibiliti serta keyakinan masyarakat terhadap parti.
“Sehubungan itu, parti memutuskan untuk merehatkan Nik Nazmi daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan, berkuat kuasa mulai 20 Okt hingga 19 Jan 2027.
“Bersama berpendirian bahawa keputusan ini adalah perlu dan munasabah tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen Nik Nazmi kepada perjuangan Bersama sejak parti ini dilancarkan semula pada Mei 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Nik Nazmi mengesahkan beliau merupakan antara dua individu yang ditahan JAIS dalam kes berdua-duaan di tempat tertutup bersama seorang wanita bukan mahram di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.
Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu menjelaskan, pertemuan berkenaan bertujuan membincangkan projek bersama rakan-rakannya sebelum mereka memutuskan untuk meneruskan perbincangan di Petaling Jaya.
Beliau mengakui hanya dirinya dan wanita terbabit berada di lokasi ketika pegawai JAIS tiba, namun menegaskan mereka tidak melakukan sebarang perbuatan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
Nik Nazmi turut memohon maaf kepada isteri, keluarga serta parti Bersama dan menyatakan kesediaan memberikan kerjasama bagi sebarang proses perundangan.
Sebelum ini, JAIS mengesahkan penahanan dua individu bagi membantu siasatan kes khalwat membabitkan seorang figura awam di daerah Petaling kira-kira jam 6 petang.
Pengarah JAIS, Shahzihan Ahmad berkata, siasatan dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

