KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu mengingatkan semua pihak supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berautoriti menyelesaikannya mengikut saluran sah berlandaskan undang-undang dan adat negeri.
Seruan itu dizahirkan menerusi kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, yang dikeluarkan hari ini dengan menjunjung titah Raja-Raja Melayu, susulan isu berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan yang sedang dihadapi.
Menurut kenyataan itu, semua pihak terbabit perlu mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adab, adat serta maruah institusi diraja dalam menangani pertikaian berkenaan.
“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa.
“Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat dan mencemarkan kemuliaan institusi diraja,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut menegaskan bahawa sebarang perbezaan pendirian perlu diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, secara beradab serta beradat, berlandaskan semangat syura dan musyawarah.
Usaha penyelesaian itu juga hendaklah berpandukan undang-undang, khususnya peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Raja-Raja Melayu mengingatkan bahawa takhta ialah amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat.
Sehubungan itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat serta usaha memuliakan institusi diraja perlu sentiasa dipelihara sepanjang proses mencari penyelesaian, selain mengelakkan kenyataan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak atau tindakan yang berpotensi mengeruhkan keadaan.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan atau tindakan tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan negeri boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Orang ramai juga diseru supaya tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan atau terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Berikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut mendoakan agar Allah SWT melimpahkan kebijaksanaan kepada semua pihak berkaitan untuk mengatasi emosi, selain mengutamakan muafakat dalam menangani perselisihan.
“Kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat hendaklah menjadi keutamaan semua pihak. Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan.
“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” menurut kenyataan itu.





