KUALA LUMPUR – Datuk Azrin Khairi hari ini dimasyhurkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 menerusi Istiadat Menghadap di Istana Besar Seri Menanti, di sini, yang disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Istiadat itu turut disaksikan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alfazny Ahmad.
Azrin, 51, yang mempunyai pengalaman selama 26 tahun bersama Telekom Malaysia, kini memegang jawatan Pengurus Pengembangan Strategik dan Pembangunan Ekosistem Perniagaan, Unit Consumer, Wilayah Pantai Timur.
Terdahulu, beliau bersama isterinya, Datin Norazizan Mamat, diarak ke istana oleh lebih 200 anggota rombongan Undang Luak Jelebu dengan iringan rebana dan paluan kompang.
Istiadat kemudian diteruskan dengan Orang Empat Istana menghadap Tuanku Muhriz sambil membawa tepak sirih bagi memohon perkenan memulakan istiadat.
Azrin seterusnya menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia kepada baginda sebelum menerima penzahiran sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 dengan gelaran Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman.





