
KOTA KINABALU – Tabung Kasih @ HAWANA telah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.54 juta kepada 864 pengamal media dan veteran wartawan di seluruh negara sejak diwujudkan pada 2023, termasuk 37 penerima dari Sabah.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, bagi tahun ini sahaja, seramai 258 pengamal media telah menerima bantuan menerusi tabung berkenaan, termasuk tiga penerima dari Sabah.
Beliau berkata, inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban pengamal media dan veteran wartawan yang berdepan masalah kesihatan, kesulitan hidup serta keadaan yang memerlukan sokongan.
“Tiga penerima berkenaan ialah Mohammed Fairuz Mohammed Yazzer, 35, daripada Media Prima, serta dua penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kamarudin Abdullah, 46, dan Floris Philip, 54.
“Mohammed Fairuz menerima bantuan berikutan masalah cakera tergelincir atau slipped disc pada bahagian tulang leher yang menjejaskan pergerakannya ketika menjalankan tugas.
“Kamarudin pula berdepan masalah kesihatan susulan kemalangan jalan raya yang dialaminya, manakala Floris mempunyai masalah jantung dan kini menggunakan alat bantuan jantung pacemaker,” katanya semasa menyampaikan bantuan Tabung Kasih @ HAWANA X TM, di sini, pada Ahad.

Menurut Nie Ching, penyaluran bantuan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kebajikan pengamal media yang berdepan kesukaran terus diberikan perhatian.
“Saya berharap Tabung Kasih @ HAWANA dapat terus menjadi saluran sokongan kepada pengamal media yang memerlukan bantuan, khususnya ketika mereka berdepan cabaran kesihatan dan kehidupan.
“Saya juga menggalakkan wartawan serta veteran wartawan yang memerlukan bantuan supaya menghubungi urus setia tabung berkenaan bagi membolehkan permohonan dan keperluan mereka dipertimbangkan.
“Kepada pengamal media yang menghadapi kesukaran tidak seharusnya teragak-agak untuk mendapatkan maklumat mengenai bantuan yang disediakan melalui inisiatif berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif itu diselaraskan oleh Bernama selaku urus setia yang bertanggungjawab mengendalikan penyaluran bantuan kepada penerima yang layak.
“Bagi tahun ini, tabung ini turut menerima sokongan Telekom Malaysia menerusi inisiatif Tabung Kasih @ HAWANA X TM bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang berdepan kesukaran.
“Sokongan berkenaan penting bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada lebih ramai rakan media yang memerlukan, sekali gus membantu meringankan beban mereka ketika melalui tempoh sukar.
“Saya harap, usaha itu dapat diteruskan bagi memastikan kebajikan pengamal media dan veteran wartawan sentiasa mendapat perhatian, selaras dengan peranan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” jelasnya.





