
SARATOK – Seorang lelaki berusia 78 tahun meninggal dunia, manakala dua lagi lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan kereta Perodua Bezza dengan pikap toyota Hilux di Kilometer 418.4 Lebuhraya Pan Borneo, persimpangan P-turn Saratok menghala ke Betong, pada Ahad.
Kejadian kira-kira jam 10.57 pagi itu mengakibatkan ketiga-tiga individu yang terlibat mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta sedan itu dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang P-turn sehingga dilanggar trak pikap yang bergerak terus di lorong kiri menghala ke Betong.

“Pemandu trak pikap berusia 60 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki, manakala pemandu kereta sedan berusia 77 tahun cedera pada bahagian kepala dan badan.
“Penumpang hadapan kereta sedan berusia 78 tahun pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk, khususnya pada bahagian hadapan, manakala kereta sedan turut mengalami kerosakan pada bahagian kiri dan kanan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta sedan yang keluar dari simpang P-turn tanpa memberikan laluan terlebih dahulu kepada kenderaan yang sedang bergerak terus,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



