PUTRAJAYA – Kerjasama pendidikan Malaysia dan Mesir perlu diperluas melangkaui pengajian Islam dengan merangkumi bidang kejuruteraan, perubatan, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peluasan kerjasama itu penting bagi membuka lebih banyak peluang dalam pelbagai disiplin, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap kepakaran teknikal dan profesional.
Beliau berkata, Mesir bukan sahaja mempunyai Universiti Al-Azhar yang kekal penting dalam pendidikan Islam, malah turut mengembangkan bidang lain yang berpotensi menjadi ruang kerjasama dengan Malaysia.
“Saya memberitahu Presiden (Abdel Fattah El-Sisi) bahawa pendidikan di Mesir bukan hanya tertumpu kepada Universiti Al-Azhar yang kekal penting dalam pendidikan Islam, tetapi negara itu turut mengembangkan bidang elektrik dan elektronik, teknologi digital, AI, kejuruteraan dan perubatan.
“Ramai doktor kita mendapat latihan di Mesir. Saya tidak mahu timbul tanggapan pengajian Islam sahaja yang penting, dan walaupun penting, kerjasama pendidikan perlu turut merangkumi bidang pengajian lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, sempena Lawatan Negara pemimpin itu ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengiktiraf sumbangan Mesir dalam kerjasama hal ehwal Islam, termasuk sokongan terhadap penubuhan sebuah pusat bahasa Arab di Malaysia.
“Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan Mesir melalui agensi dan kementerian berkaitan bagi memperkukuh kerjasama dalam hal ehwal Islam,” katanya.
Selain pendidikan, Anwar turut menggesa supaya kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara diperkukuh, termasuk dalam aspek keperluan pertahanan dan latihan bersama, meskipun Malaysia dan Mesir dipisahkan oleh jarak geografi.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala bagi menilai kemajuan kerjasama sedia ada serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
El-Sisi mengadakan Lawatan Negara selama dua hari ke Malaysia bermula semalam atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.




