
KUANTAN – Pengumuman kerajaan meluluskan peruntukan RM1.26 bilion kepada FELDA pada pembentangan Belanjawan 2027 semalam menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan nasib warga peneroka.
Dengan tumpuan kepada pengukuhan kedudukan kewangan agensi itu, penyelenggaraan jalan serta pembangunan perumahan generasi FELDA, ia diharap membantu mengukuhkan sosioekonomi penduduk di tanah rancangan seluruh negara.
Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, jumlah peruntukan RM1.26 bilion itu yang merangkumi tiga komponen utama dan mampu memberi manfaat secara langsung kepada warga FELDA.
“Komponen disebut dalam pembentangan belanjawan membabitkan pengukuhan kewangan FELDA, penyelenggaraan jalan di kawasan rancangan FELDA dan pembangunan perumahan untuk generasi kedua serta seterusnya.
“Purata pendapatan bersih peneroka juga dikatakan meningkat daripada RM2,272 sebulan pada 2023 kepada RM3,800 pada 2026, hasil pelbagai inisiatif pemulihan dan pengukuhan FELDA yang dilaksanakan kerajaan.
“Jadi, dengan jumlah besar (peruntukan) diumumkan itu dijangka memanfaatkan warga peneroka di seluruh negara, termasuk dari aspek kebajikan, infrastruktur dan pembangunan ekonomi,” katanya kepada The Malaysia Press.
![]()
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jumlah peruntukan itu pada sesi pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Razak dalam pada itu berkata, dari segi perumahan untuk generasi FELDA pula, peruntukan berkenaan memberi fokus kepada penyediaan kediaman untuk generasi baharu FELDA, manakala bagi penyelenggaraan jalan, ia berpotensi melibatkan pembaikan jalan utama rancangan, jalan perhubungan dan laluan ke kawasan pertanian.
Pada masa sama, katanya, pengukuhan kedudukan kewangan FELDA bertujuan memastikan agensi itu kekal berdaya saing dan mampu meneruskan agenda pembangunan serta menjaga kebajikan peneroka.
Dalam pada itu, dia berharap kerajaan juga membuka ruang kepada warga peneroka, terutama generasi kedua dan ketiga FELDA menceburi bidang pertanian, penternakan dan perusahaan ekonomi lain, bagi meningkatkan pendapatan.
“Dengan keluasan tanah diusahakan peneroka, ada baiknya dimanfaatkan untuk penanaman atau penternakan yang boleh dijadikan sumber pendapatan kedua mereka.
“Maknanya, peneroka tidak hanya bergantung harap kepada hasil kelapa sawit sebagai pendapatan tunggal mereka.
“Jadi, ia bakal memberi nilai tambah kepada tahap ekonomi penduduk di FELDA seluruh Malaysia,” jelasnya.






