PUTRAJAYA – Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam disambut baik kerana bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan, malah menyuntik semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Penjawat awam, Mohd Haizal Yatiran berkata, beliau bersyukur kerana kebajikan penjawat awam terus diberikan perhatian serius oleh Perdana Menteri.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kebajikan penjawat awam terus dijaga dan diberikan perhatian serius oleh Perdana Menteri.
“Bantuan khas ini juga menjadi motivasi kepada penjawat awam untuk bekerja dengan lebih keras dan cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), semalam.
Sementara itu, Norezwaty Mohd Bahror berkata, bantuan berkenaan memberikan semangat kepadanya untuk bekerja dengan lebih rajin, selain berharap inisiatif itu turut mendorong penjawat awam lain meningkatkan komitmen ketika menjalankan tugas.
“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas inisiatif pemberian bantuan khas RM1,500 ini.
“Bantuan ini memberi semangat kepada saya untuk bekerja dengan lebih rajin lagi. Saya berharap rakan-rakan penjawat awam yang lain juga akan terus bersemangat dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam, Siti Ayuni Johar, turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas inisiatif berkenaan yang disifatkan sebagai dorongan untuk terus meningkatkan usaha dalam pekerjaan.
Beliau berkata, bantuan itu memberikan semangat kepadanya untuk bekerja dengan lebih rajin dan berharap rakan sekerja turut mempunyai motivasi sama dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas inisiatif ini. Bantuan berkenaan memberi semangat kepada saya untuk bekerja dengan lebih rajin lagi dan saya berharap rakan-rakan lain turut mempunyai semangat yang sama,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian BKK sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.
Pembayaran bantuan itu akan dibuat secara dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-70.







