
KOTA KINABALU – Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 menerusi Belanjawan 2027 dilihat sebagai langkah positif ke arah meningkatkan kuasa beli dan kesejahteraan pekerja, selain memperkukuh struktur gaji negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Dr Jain Yassin berkata, peningkatan kira-kira 17.6 peratus itu, bersama pengenalan gaji minimum RM2,500 bagi pekerja separa mahir dan graduan, mencerminkan usaha kerajaan melaksanakan reformasi struktur gaji.
“Yang pertama pastinya kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 merupakan peningkatan sekitar 17.6 peratus, yang berpotensi meningkatkan kuasa beli dan kesejahteraan pekerja.
“Selain itu, pengenalan gaji minimum RM2,500 bagi pekerja separa mahir dan graduan serta peningkatan penanda aras gaji kehidupan wajar GLIC dan GLC kepada RM3,400 merupakan langkah ke arah reformasi struktur gaji dan peningkatan kesejahteraan pekerja,” ujarnya kepada wartawan The Malaysia Press semasa mengulas Belanjawan 2027 pada Jumaat.
Bagaimanapun, Jain berkata, kenaikan gaji minimum itu perlu mengambil kira kemungkinan berlakunya ‘wage compression’ iaitu keadaan apabila jurang gaji antara pekerja baharu dengan pekerja berpengalaman semakin mengecil.
Jelasnya, keadaan itu boleh menjejaskan motivasi pekerja berpengalaman dan berpotensi mengurangkan produktiviti, selain kesan kenaikan gaji terhadap inflasi yang perlu diteliti.
Namun, pengecualian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta daripada dasar gaji minimum RM2,000 sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan kos operasi perniagaan.
Pertumbuhan ekonomi perlu dirasai rakyat
Mengulas keseluruhan Belanjawan 2027, Jain berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 4.2 hingga 5.2 peratus menunjukkan penggunaan swasta dan pelaburan masih menjadi pemacu utama ekonomi.
Namun, beliau berpandangan pertumbuhan itu perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan sebenar rakyat, pekerjaan berkualiti dan produktiviti yang lebih tinggi.
“Secara peribadi, Belanjawan 2027 adalah dalam jangkaan saya.
“Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada pertumbuhan ini mampu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan sebenar rakyat, pekerjaan berkualiti dan produktiviti yang lebih tinggi,” kongsinya.
Jain berkata, peningkatan jumlah perbelanjaan kepada RM510 bilion berbanding RM470 bilion pada 2026 menunjukkan skala komitmen fiskal kerajaan yang semakin besar.
Tambahnya, penumpuan 45.4 peratus perbelanjaan pembangunan kepada sektor ekonomi dan 33.7 peratus kepada sektor sosial menunjukkan kepentingan pembangunan produktif serta kesejahteraan rakyat.
STR, SARA rangsangan ekonomi setempat
Dalam aspek bantuan rakyat, Jain berkata, peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion pada 2027 dijangka membantu meningkatkan kuasa beli isi rumah.
“Peluasan penggunaan SARA bagi pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut memberi manfaat kepada peniaga kecil dan pengusaha tempatan melalui peningkatan permintaan.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan kuasa beli isi rumah, malah merangsang aktiviti ekonomi setempat serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat,” kongsinya.
Perlindungan pekerja GIG diperkukuh
Dalam pada itu, Jain turut memuji usaha kerajaan mengangkat kebajikan pekerja ekonomi gig yang menjadi sebahagian penting daripada penggerak ekonomi negara.
“Pakej bernilai RM160 juta yang merangkumi peningkatan pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan langkah positif ke arah meningkatkan pendapatan bersih dan perlindungan sosial pekerja e-hailing serta p-hailing.
“Golongan pekerja GIG perlu mendapat perlindungan sosial dan pendapatan yang lebih terjamin bagi memastikan kesejahteraan mereka terus terpelihara,” jelasnya.
Ekonomi perak buka peluang pekarjaan baharu
Selain ekonomi GIG, Jain berkata, Belanjawan 2027 turut mengiktiraf potensi ekonomi perak (silver economy) sebagai sumber pertumbuhan baharu melalui pembangunan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat menua.
“Penggubalan Rang Undang-Undang Warga Emas bagi menangani pengabaian dan memperkukuh ekosistem penjagaan, bersama-sama pengurangan cukai perkhidmatan jagaan daripada lapan kepada enam peratus, berpotensi meningkatkan perlindungan warga emas serta mengurangkan beban kewangan keluarga.
“Pada masa sama, peruntukan lebih RM40 juta untuk melatih 8,000 tenaga kerja membuka peluang pekerjaan baharu dan memperkukuh sektor penjagaan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.
Beliau berpandangan langkah itu mencerminkan pendekatan kerajaan yang berpandangan jauh dalam membangunkan ekonomi perak.
Peruntukan Sabah, Sarawak perlu diurus dengan berkesan
Menyentuh pembangunan Sabah dan Sarawak, Jain menyambut baik penekanan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai sebahagian daripada waad nasional yang mencerminkan komitmen bersama dalam pembentukan Malaysia.
“Perkara ini disertai peningkatan peruntukan Persekutuan kepada Sabah daripada RM17.6 bilion kepada RM18.7 bilion, manakala Sarawak daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion pada 2027.
“Bagaimanapun, semangat MA63 perlu diterjemahkan melalui pengurusan peruntukan dan koordinasi yang kukuh agar pembangunan berkualiti benar-benar dapat dirasai rakyat kedua-dua negeri,” tegasnya.
Pelepasan cukai lebih inklusif
Jain turut menyifatkan peluasan pelepasan cukai kepada penjagaan selepas bersalin, pembelian kasut sukan dan langganan kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah yang relevan dengan keperluan semasa rakyat.
Menurutnya, walaupun kedengaran agak lucu, pelepasan cukai bagi pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan sebenarnya mencerminkan pendekatan dasar yang lebih inklusif terhadap kebajikan haiwan dan pemilikan yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, agenda lain yang turut relevan termasuk memperkukuh keterjaminan makanan negara, memperluas akses pembiayaan, menarik pelaburan strategik, merangsang inovasi dan memperkasakan agenda Bumiputera.
Kesejahteraan rakyat keutamaan Belanjawan 2027
Secara keseluruhan, Jain berpandangan Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk menangani isu berlarutan, termasuk status doktor kontrak, kebajikan petugas kesihatan, kos sara hidup dan pelaksanaan MA63.
“Penekanan terhadap ekonomi gig, ekonomi perak, keterjaminan makanan, akses pembiayaan dan pelaburan strategik turut menunjukkan usaha memperluas sumber pertumbuhan ekonomi negara.
“Belanjawan 2027 perlu membawa aspirasi ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, dengan memacu pertumbuhan dan daya saing negara, namun tetap berpaksikan realiti kehidupan rakyat.
“Kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui angka pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui keupayaan mengekalkan kemampanan fiskal serta memastikan kemakmuran negara diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ di Dewan Rakyat.
Belanjawan kelima Kerajaan MADANI itu dijangka menjadi belanjawan terakhir sebelum berakhirnya penggal Parlimen ke-15 dan berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Belanjawan 2027 juga merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan daya saing dan kesejahteraan rakyat.







