
TAWAU – Polis menahan 14 individu bagi membantu siasatan kes pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar dipercayai menggunakan senjata yang tular di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kesemua mereka berumur 12 hingga14 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada Rabu susulan laporan yang diterima.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar sebelum berlaku pergaduhan yang kemudiannya melibatkan beberapa pelajar lain.
“Rakaman video kejadian yang tular turut membantu polis mengenal pasti individu serta peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Menurut Rosdi, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan sebuah basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
“Salah seorang yang ditahan merupakan warga asing yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi menentukan penglibatan dan peranan setiap individu yang ditangkap,” ujarnya.
Tambah Rosdi, pihaknya turut mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi dan tangkapan, mendapatkan laporan perubatan mangsa serta menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau.
“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Rosdi turut memberi amaran tegas bahawa sebarang tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan apa-apa objek sebagai senjata adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.
Justeru, beliau menasihati ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak mereka, manakala para pelajar diingatkan agar tidak terlibat dalam pergaduhan, melakukan provokasi atau menyertai kumpulan yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah.
“Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat sama,” jelasnya.



