
KUANTAN – Kerajaan Pahang menyediakan 60 peranti al-Quran e-Braille bernilai RM600,000 bagi memperkasa pembelajaran al-Quran dalam kalangan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negeri ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, setiap peranti bernilai RM10,000 itu kini ditempatkan di lapan Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille di seluruh Pahang.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja memanfaatkan golongan OKU penglihatan, malah turut menarik minat individu celik penglihatan mengikuti program pembelajaran tersebut.
“Yang menariknya, bukan sahaja individu kurang upaya penglihatan, malah ramai juga dalam kalangan yang sempurna penglihatan pun turut mengikuti program ini.
“Seramai 28 guru dilantik untuk mengajar dan kebanyakannya pelajar dari Sekolah Pendidikan Khas dengan anggaran lebih 100 pelajar yang menikmati kemudahan ini sehingga hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Pembelajaran al-Quran Braille Negeri Pahang di Masjid Tepian Putra, di sini, hari ini.
Sabariah berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1.2 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membiayai penganjuran latihan, tenaga pengajar dan penubuhan pusat pembelajaran berkenaan sejak tahun 2024.
Sementara itu, seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Perang Tengku Muhammad, Muhammad Amirul Hamdan Rahim, 14, yang hilang penglihatan sejak dua tahun lalu akibat darah beku di kepala, berkongsi keterujaannya dengan kemudahan tersebut.
“Saya hilang penglihatan selepas pembedahan kerana ada darah beku dalam kepala. Sebelum ini boleh membaca macam biasa. Jadi sekarang saya sedang belajar tulisan Braille untuk membaca dan belajar,” katanya.
Beliau yang kini belajar mengenal semula huruf menggunakan tulisan Braille dalam semua mata pelajaran termasuk membaca al-Quran dan berhasrat mempelajari penggunaan peranti e-Braille sebagai kaedah mendalami al-Quran.






