
SANDAKAN – Seorang pegawai hal ehwal ekonomi sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan di sini, pada Khamis, terhadap 14 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM15,000.
Nur Izzati Mohd Rudzuan, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam dua tempoh berasingan, iaitu sembilan pertuduhan antara Ogos dan September 2023 serta lima lagi antara April dan Mei 2024.

Tertuduh didakwa membuat tuntutan menggunakan invois bagi pembekalan bahan mentah, hamper dan makanan serta perkhidmatan sistem siar raya yang didakwa tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta berkenaan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM5,000 dan seorang penjamin tempatan.
Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport serta melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat apabila diperlukan.
Perbicaraan ditetapkan pada 1 hingga 5 Februari 2027, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 5 November ini.

