
KOTA KINABALU – Seramai 12,000 usahawan berjaya dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di seluruh negara, meningkat berbanding lebih 500 orang yang direkodkan pada 2022.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha pembangunan keusahawanan itu akan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program latihan intensif atau bootcamp seperti yang sedang dilaksanakan di Kota Kinabalu, sebelum diperluaskan ke setiap negeri.
“Sejak tahun 2022, MCMC telah berjaya membangunkan lebih 500 orang usahawan pada waktu itu, tetapi hari ini angka berkenaan telah bertambah menjadi 12,000 orang usahawan di seluruh negara.
“Apa yang diusahakan di Kota Kinabalu pada waktu ini, iaitu bootcamp, akan dilaksanakan di setiap negeri.
“Tiga usahawan yang dianggap paling berjaya akan dikumpulkan dalam satu pertandingan peringkat nasional, yang mana mereka yang dinobatkan sebagai pemenang nanti akan diberikan sokongan dan dorongan untuk terus mengembangkan peluang perniagaan, termasuk melalui platform-platform e-dagang,” kongsinya kepada media selepas merasmikan Pusat Sebaran Nasional (NADI) di Inanam Sentral, pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, program Satu NADI, Satu Prompt Engineer turut mencatatkan pencapaian lebih 60 peratus daripada sasaran yang ditetapkan menerusi pelaksanaan dua kohort peserta setakat ini.
“Setakat ini, kita telah berjaya melaksanakan dua kumpulan pelajar bagi program Satu NADI, Satu Prompt Engineer.
“Pada hujung September lalu, kumpulan kedua membabitkan lebih 900 orang telah memulakan kelas bagi tiga tahap dalam program ini.
“Daripada lebih 1,200 peserta kumpulan pertama, sebanyak 50 peratus telah menamatkan ketiga-tiga tahap latihan.
“Jadi, setakat ini kita telah mencapai lebih 60 peratus daripada angka sasaran bagi program Satu NADI, Satu Prompt Engineer,” jelasnya.
Hadir sama pada program berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.







