
KUCHING – Kekurangan anggota kini menjadi antara cabaran utama yang dihadapi oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam memastikan kawalan di 36 pintu masuk negara di Sarawak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, situasi tersebut mendesak pihaknya untuk mengoptimumkan kekuatan sedia ada bagi memastikan kelancaran operasi di setiap lokasi terus terjamin.
Menurut beliau, keperluan penempatan anggota bukan sahaja tertumpu di pintu masuk utama antarabangsa, malah turut melibatkan lokasi strategik di kawasan pedalaman yang sering berdepan kekangan dari segi jarak, akses jalan raya, kemudahan asas dan logistik.
“Banyak lokasi yang kritikal memerlukan penempatan pegawai, tetapi pada masa yang sama kita perlu menguruskan kekuatan sedia ada secara berhemah bagi memastikan operasi terus berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan di pejabatnya, pada Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily menjelaskan bahawa keadaan geografi muka bumi Sarawak yang luas menuntut pendekatan taktikal berbeza dalam menguruskan pintu-pintu masuk, terutama di kawasan pedalaman.
Pada masa yang sama, aspek pencegahan kes penyeludupan barangan kawalan bersubsidi dan kenderaan rentas sempadan turut diberi tumpuan penuh bagi memastikan tahap keselamatan negara sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
“AKPS akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti keperluan mendesak di setiap lokasi, termasuk mendapatkan sokongan dalam aspek pembangunan infrastruktur, kemudahan utiliti dan penambahan perjawatan.
“Sokongan padu ini amat penting bagi memastikan fungsi AKPS dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa AKPS turut merancang untuk memperluaskan program libat urus bersama masyarakat di Sarawak bagi memberi kefahaman yang lebih jelas mengenai peranan agensi tersebut.
Usaha ini dilihat kritikal bagi membina jaringan kerjasama kukuh dengan komuniti setempat, khususnya penduduk yang mendiami kawasan berhampiran sempadan.
Tambahnya, pengoperasian AKPS di Sarawak kini telah berjalan hampir dua tahun dan pihaknya beriltizam untuk terus memperkukuh keupayaan keanggotaan dalam memikul tanggungjawab kawalan sempadan negara.
Turut hadir pada sesi kunjungan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir; Komander Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pius Inggong; Komander Pintu Masuk Pelabuhan Senari, Abang Mat Noor Abang Abdul Samat; serta Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa AKPS, Norhisham Kamarudin.

