
KUCHING – Kanak-kanak dari institusi kebajikan yang tidak diketahui status ibu bapa yang dijadikan anak angkat keluarga Sarawak layak dapat status ‘K’ atau anak Sarawak pada kad pengenalan mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata perkara tersebut juga mendapat persetujuan kabinet di bawah Perkara 14A Perlembagaan Persekutuan pada 26 September 2024.
“Alhamdulillah, keluarga Sarawak mengambil anak angkat dari institusi kebajikan layak mendaftarkan status ‘K’ pada kad pengenalan,” ujar beliau.
Jelas beliau lagi, perkara itu juga sudah dipersetujui oleh kabinet tanpa mengira latar belakang anak angkat tersebut.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada mesyuarat bersama-sama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) pada Rabu.
Sementara itu, beliau mengulas punca kuasa mengurus pendaftaran kanak-kanak tersebut diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Saya mahu memaklumkan JPN merupakan punca kuasa untuk kita kerana agensi tersebut mendapat kelulusan daripada kabinet,” ujar beliau lagi.








