
LAHAD DATU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan rondaan dan pemantauan susulan kejadian gempa bumi magnitud 5.0 di perairan Sandakan yang turut dirasai di beberapa kawasan Pantai Timur Sabah, pada Selasa.
Ketua BBP Tawau, Jemishin Ujin berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kerosakan struktur bangunan, runtuhan, kebakaran atau kecederaan melibatkan mangsa dilaporkan.
“Rondaan membabitkan kawasan Zon 5 meliputi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
“13 anggota dari BBP Tawau digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi daerah ini
“Operasi yang bermula kira-kira pukul 10 malam itu tamat pukul 10.23 malam selepas keadaan didapati terkawal, ” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu turut menggerakkan pasukan pemantau ke beberapa kawasan pesisir pantai strategik susulan kejadian gempa bumi tersebut.
“Pemantauan itu dijalankan di sekitar Bandar Lahad Datu dan POIC, pesisir pantai Parapat dan Makuou, Tungku serta Felda Sahabat 16 sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang risiko tsunami atau gelombang luar biasa.
“Hasil cerapan mendapati keadaan perairan di seluruh daerah itu kekal tenang dan terkawal.
“Anggota turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk di kawasan pesisir pantai.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya kekal tenang, peka terhadap keadaan persekitaran dan mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” ujar APM Lahad Datu dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, METMalaysia melaporkan gempa bumi sederhana yang berlaku di Perairan Sandakan kira-kira pukul 9. 11 malam itu berpusat pada koordinat 4.9 darjah Utara dan 118.7 darjah Timur, kira-kira 48 kilometer (km) timur Lahad Datu dengan kedalaman 10 km.






