MELAKA – Selepas hampir dua minggu Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan, tumpuan kini terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadual mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi menentukan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Mesyuarat dijadualkan pagi ini yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, sebelum satu sidang media pada jam 11.30 pagi bagi mengumumkan keputusan berkenaan.
Menurut laporan Berita Harian, antara perkara yang akan ditentukan ialah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal serta hari pengundian selain daftar pemilih yang akan digunakan.
Turut dijangka diperincikan, urusan pilihan raya termasuk penggunaan pusat penamaan calon, pusat mengundi dan persiapan petugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Pembubaran DUN pada 23 September lalu membuka laluan kepada pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Dengan 28 kerusi dipertandingkan, PRN kali ini bukan sekadar menentukan siapa membentuk kerajaan negeri, tetapi bakal menjadi ujian penting terhadap kekuatan sebenar blok politik selepas perubahan besar landskap politik nasional sejak PRN Melaka 2021.
Dari sudut angka pengundi, Melaka kini jauh berbeza berbanding PRN lima tahun lalu.
Berdasarkan data setakat 20 April 2026, jumlah pemilih berdaftar di Melaka mencecah 683,543 orang, meningkat 188,348 orang atau kira-kira 38 peratus berbanding 495,195 pemilih pada PRN 2021.
Pertambahan hampir 190,000 pemilih itu menjadikan PRN kali ini mempunyai dimensi demografi yang berbeza. Kelompok pengundi baharu, termasuk mereka yang didaftarkan secara automatik selepas pelaksanaan Undi18, berpotensi menjadi faktor penentu terutama di kerusi yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti kecil.
Malah, jumlah itu berkemungkinan berubah lagi apabila SPR memuktamadkan daftar pemilih yang akan digunakan.
Daftar Pemilih Tambahan pada Ogos 2026 sahaja mengandungi 43,309 warga negara berusia 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, selain 34,411 pemilih yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,728 yang bertukar kategori atau status pengundi.
Angka ini memperlihatkan mengapa daftar pemilih yang akan diumumkan SPR esok mempunyai kepentingan politik yang besar.
Ia bukan sekadar menentukan jumlah keseluruhan pengundi, tetapi memberikan gambaran lebih jelas mengenai saiz gelanggang yang bakal dihadapi setiap parti di 28 kawasan DUN.
Pada 22 September lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa 23 September.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan 21 daripadanya dimenangi BN pada PRN lalu, manakala lima dimenangi Pakatan Harapan dan dua Perikatan Nasional.






