
KUALA LUMPUR – Tindakan sesetengah pihak sekolah menyembunyikan masalah demi menjaga imej dan prestasi institusi berkenaan antara perkara yang boleh menyumbang kepada berlarutannya isu keselamatan serta gejala buruk dalam kalangan murid, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, usaha menangani isu buli, penderaan dan keselamatan murid tidak boleh hanya bergantung kepada garis panduan atau prosedur yang ditetapkan, sebaliknya memerlukan kesedaran serta pembabitan semua pihak termasuk ibu bapa, guru, sekolah dan Jabatan Pendidikan.
“Ada sekolah yang kadang-kadang menyembunyikan perkara ini sebab tidak mahu imej sekolah buruk. Nak jaga prestasi sekolah, bagi laporan yang baik, yang rosak anak-anak ini kita tidak fikir.
“Contohnya dalam menangani kes kematian Zara Qairina Mahathir dan ia diakui ada kelemahan awal. Kita harus belajar dari kelemahan itu dan perbaiki, perketatkan peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin meminta Perdana Menteri menjelaskan mengapa kes yang mengancam keselamatan pelajar masih berlaku di sekolah walaupun pelbagai garis panduan dan prosedur keselamatan sudah ditetapkan kerajaan.
Anwar berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah melaksanakan pelbagai langkah termasuk pemantauan asrama, audit keselamatan, peningkatan kapasiti penyeliaan murid, kaunseling dan inisiatif kesejahteraan, namun mengakui usaha berkenaan masih belum mencukupi.
“Apakah mencukupi? Saya fikir belum. Saya tidak percaya kes ini boleh selesai tanpa kesedaran dan pembabitan semua pihak.
“Malah didikan asas agama, akhlak, kecintaan kepada ibu bapa, hormat pada guru-guru harus ditingkatkan juga.
“Saya tidak bermaksud menyalahkan ibu bapa, tetapi unit keluarga itu sebenarnya menjadi satu asas kepada tertegaknya sebuah negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sebarang kelemahan yang dikenal pasti perlu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki dan memperketatkan peraturan serta langkah keselamatan di sekolah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha berkenaan perlu disokong kesedaran masyarakat, khususnya ibu bapa dan keluarga.
“Tetapi akhirnya, walaupun ada beberapa hal yang disebutkan tadi, akhirnya kesedaran rakyat, ibu bapa dan keluarga adalah yang paling penting sekali,” katanya.






