
SANDAKAN – Sabah wajar diberikan peruntukan lebih besar dan bermakna dalam Belanjawan Negara akan datang, khususnya bagi menangani keperluan infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan pembangunan pertanian negeri itu.
Naib Presiden Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Chong Thien Ming berkata, belanjawan berkenaan penting bagi memastikan janji dan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dapat dilaksanakan, selain mempercepat usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri itu dengan Semenanjung Malaysia.
“Kita mempunyai tempoh setahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum dan jika kerajaan komited untuk melengkapkan tempoh lima tahun.
“Semua janji dan komitmen utama kepada Sabah sepatutnya berada pada peringkat akhir pelaksanaan atau sekurang-kurangnya 90 peratus selesai sebelum Parlimen dibubarkan,” ujarnya dalam kenyataan, pada Isnin.
Menurut Chong, antara keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah menaik taraf jalan raya, jambatan, saluran paip air dan sistem perparitan, khususnya di kawasan luar bandar, selain menangani masalah banjir kilat di kawasan bandar dan pinggir bandar.
“Walaupun Lebuhraya Pan Borneo kekal sebagai projek penting, Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengabaikan jalan persekutuan lain di Sabah yang mengalami kerosakan dan berlubang sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
“Jalan yang rosak teruk perlu diturap semula atau menjalani pembaikan menyeluruh dan bukan sekadar tampalan sementara kerana keselamatan pengguna jalan raya perlu diutamakan,” tegasnya.
Dalam sektor kesihatan, Chong berkata Sabah memerlukan pelaburan lebih besar untuk menggantikan peralatan perubatan yang sudah berusia, selain menambah Klinik Kesihatan di kawasan yang mengalami pertumbuhan penduduk.
“Perkhidmatan kesihatan bergerak juga perlu diperkasa bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman mendapat akses rawatan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
“Saya mencadangkan penambahan doktor dan petugas perubatan tetap dengan sokongan insentif serta ganjaran lebih baik bagi menarik dan mengekalkan tenaga profesional di Sabah,” kongsinya.
Mengenai pendidikan, beliau berkata sekolah luar bandar memerlukan kemudahan lebih baik termasuk kuarters guru, asrama dan kemudahan penginapan bagi pelajar dari kawasan pedalaman.
Dalam sektor pertanian, Chong mencadangkan sokongan lebih besar kepada petani dan pengusaha menerusi pengurangan atau pengecualian cukai import bagi mesin serta peralatan pertanian moden.
“Sabah juga memerlukan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih kukuh dalam pertanian dan industri berasaskan agro bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran serta menghasilkan produk pertanian bernilai tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti dengan berhati-hati pelaksanaan cukai baharu dan kos tambahan supaya tidak memberi tekanan kepada perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah.
Menurutnya, sebahagian perniagaan di Sandakan masih berdepan cabaran ekonomi termasuk kilang yang menghentikan operasi serta premis perniagaan dan restoran yang masih bergelut untuk pulih.
“Sabah memerlukan Belanjawan yang memberikan keyakinan dan membuka peluang, bukan menambah ketidaktentuan serta kos menjalankan perniagaan.
“Sabah tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya pembangunan yang adil dan bermakna berdasarkan keperluan serta sumbangan negeri kepada Malaysia,” katanya.





